01 September, 2010

Wahai para Pemuda, mari kita baca sat info pasal rokok ni...


Di Malaysia, merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kematian setahun; 30 peratus daripadanya disebabkan 10 jenis kanser, iaitu paru-paru, mulut, esofagus, tekak, pankreas, pundi kencing, buah pinggang, serviks, kolon dan perut, 50 peratus kematian berpunca daripada sakit jantung dan strok dengan pecahan 25 peratus masing-masing. HTML clipboardMenurut Dr Sallehudin, lebih 100,000 perokok dimasukkan ke hospital kerajaan di seluruh negara akibat sakit jantung, kanser dan penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD) dan lebih penting, negara mengalami kerugian kira-kira RM20 bilion setahun bagi menanggung kos rawatan dan kehilangan produktiviti.

Kesan Asap Rokok Kepada Si Perokok Dan Orang Disekeliling

Si perokok bukan sahaja perlu bertanggungjawab pada diri sendiri tetapi turut bertanggung jawab pada orang disekeliling akibat daripada bahaya asap rokok. Asap rokok yang dihidu oleh perokok atau mereka yang berada di sekelilingnya, akan memasuki rongga mulut dan hidung melalui kerongkong ke paru-paru. Kandungan asap rokok akan menyebabkan kerosakan tisu di sepanjang perjalanan di ruang ini. Ia boleh menyebabkan pelbagai penyakit di mulut, kerongkong, paru-paru dan barah. Asap akan melalui saluran pernafasan ke dalam paru-paru dan merosakkan saluran bronkus, menyebabkan bronkitis, penyakit di bahagian paru paru. Ia juga akan merosakkan pundi udara dalam paru-paru (alveoli) dan menyebabkan penyakit emfisima.

Asap rokok yang dihidu juga akan melalui saluran penghadaman dan pencernaan, yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit di bahagian esofagus, perut dan pankreas.

Racun dalam asap rokok yang larut air akan memasuki sistem saluran darah dan dibawa ke seluruh badan. Bahan nikotin, bukan saja memberi sifat ketagihan, malah menyebabkan saluran darah arteri menjadi sempit. Ia juga merosakkan dinding arteri dan akan memudaratkan organ berkaitan.

Kesan ini, dalam jangka panjang, akan menyebabkan simptom kebas pada kaki, jari, migrain, sakit kepala, pedih ulu hati, kekejangan otot kaki, serangan penyakit jantung dan sebagainya.

Racun rokok akhirnya disaring dalam buah pinggang dan dihapuskan dari badan melalui air kencing. Dalam proses ini pula, berlaku satu lagi keracunan hasil penguraian kimia asap rokok yang turut merosakkan buah pinggang. Racun dalam air kencing juga menyebabkan kerosakan pundi kencing.

Racun akibat merokok juga mempunyai kesan tindak balas terhadap ubat-ubatan. Secara umum diketahui merokok boleh menjejaskan fungsi beberapa kumpulan enzim di hati dan ada kalanya ia boleh memperhebatkan kesan sampingan sesuatu ubat itu.

Kesan Asap Rokok Terhadap Isteri Perokok Adalah :
- Melahirkan bayi yang kurang berat badan
- Melahirkan bayi yang tidak cukup bulan
- Lebih terdedah kepada kanser
- Mengurangkan kesuburan dan putus haid awal

Kesan Asap Rokok Terhadap Anak Perokok :
- Lebih mudah mendapat lelah
- Mendapat jangkitan paru-paru
- Pertumbuhan paru-paru kanak-kanak terganggu
- Mudah menjadi perokok apabila dewasa kelak

AKIBAT MEROKOK

Bagaimana merokok mendatangkan kesan ke atas tubuh badan anda?

Apakah kesan-kesan jangka pendek?

Apakah kesan-kesan jangka panjang?

Selain membahayakan kesihatan diri, apakah keburukan
merokok yang lain?

Bagaimana merokok mendatangkan kesan ke atas tubuh badan anda?

  • Mempunyai kedua-dua kesan jangka pendek dan jangka panjang
  • Bahan-bahan kimia yang dibebaskan daripada rokok boleh merosakkan beberapa organ dalam tubuh badan kita

Apakah kesan-kesan jangka pendek?


Otak


-


Pembebasan gas karbon monoksida dan pengurangan oksigen menyebabkan otak tidak dapat berfungsi dengan sepenuhnya

Telinga

-

Mengurangkan kadar pengaliran darah boleh menyebabkan pekak

Mata

-

Mata berair, radang mata yang boleh mengganggu daya penglihatan

Mulut

-

Mengalami deria rasa yang tidak sedap pada bibir,lidah dan tekak


-

Nafas berbau dan mendapat jangkitan mulut


-

Gigi menjadi kuning

Hidung

-

Mengurangkan deria bau

Kulit

-

Mengurangkan suhu badan, kulit muka cepat berkedut

Paru-paru

-

Kesukaran untuk bernafas dan mengurangkan tenaga untuk bersukan

Apakah kesan-kesan jangka panjang?Barah (cth. paru-paru, payudara, mulut, tekak, dan usus)

  • Penyakit Jantung
  • Angin Ahmar / Strok
  • Penyakit paru-paru (cth. Penyakit lelah, bronkitis)
  • Penyakit mulut dan gusi
  • Ulser (perut, peptic)
  • Osteoporosis
  • Kemandulan (tidak boleh hamil)
  • Kurang bernafsu dalam perhubungan seks
  • Mati pucuk
kredit kepada http://dupahang.wordpress.com

28 Ogos, 2010

Syaitan masih berkeliaran di bulan Ramadhan?


Dari Abi Hurairah, katanya, Nabi SAW bersabda, maksudnya: ‘Apabila masuknya malam pertama dari bulan Ramadhan, syaitan dan jin yang ganas dibelenggu. Pintu neraka ditutup, Tidak dibuka satupun darinya. Pintu syurga dibuka. Tidak satupun darinya ditutup. Ada satu seruan: ‘Wahai orang yang mencari kebaikan! Berhadaplah ke mari. Wahai orang yang mencari kejahatan! Henti hentilah (perkara jahat kamu itu). Bagi Allah itu ada hamba-hamba yang dimerdekakan. Demikian itu pada setiap malam.’ Riwayat at-Tirmizi

Ringkasan:

Imam Nawawi menyebut jin syaitan ini dibelenggu kerana menghalang mereka dari menyakiti orang mukmin dan menakut-nakutkan mereka. Belenggu itu boleh jadi hakiki (sebenar) atau majazi (simbolik).

Al-Qadhi Iyadh menyebut: Boleh jadi Allah membelenggukan syaitan itu dengan rantai dan belenggu dengan sebenarnya, bukan ia majazi atau secara simbolik sahaja. Tujuannya supaya mereka tidak menyakiti mukmin dan menakut-nakutkan mereka. Boleh jadi juga ia adalah simbolik. Allah jadikan mereka itu lemah dari menipu-daya mukmin dalam bulan puasa ini hingga jadi kuranglah tipu-dayanya. Maka jadilah mereka itu seolah-olah dibelenggu. Belenggu juga dengan makna mereka tidak dapat menipu sebahagian mukmin dan sebahagiannya dapat ditipunya. Sebahagian perkara dapat ditipu dan sebahagiannya tidak. Ini semua bermaksud membesarkan bulan Ramadhan itu.

Berkenaan pintu neraka ditutup dan pintu syurga dibuka, Imam Nawawi menyebut bahawa ia boleh jadi hakiki atau majazi juga. Ertinya apabila masuk bulan puasa itu, Allah buka jalan taat yang banyak kepada hambaNya, yang tidak ada di bulan selain Ramadhan seperti berpuasa, berjaga malam dan pelbagai kebajikan yang lain. Maka itulah yang menjadikan sebab masuk syurga dan seolah-olah itulah pintunya.

Berkenaan seruan itu pula, ia tidak didengari oleh manusia. Namun Allah tidak membiarkan begitu sahaja. Allah memberitahu Nabinya tentang seruan tersebut. Diwakilkan kepada Malaikat menyeru pada setiap malam puasa memanggil hamba-hambaNya untuk berbuat taat dan menjauhkan maksiat.

Allah memerdekakan hambaNya dari neraka dengan sebab ketaatan yang dibuat. Ada yang dimerdekakan dengan sebab mengesakan Allah. Ada yang dimerdekakan dengan sebab solat. Ada yang dimerdekakan dengan sebab puasa. Pemerdekaan dalam bulan puasa ialah dengan sebab pahala puasa dan berkatnya.

10 Ogos, 2010

Ramadhan; Ibadah vs Adat


Umat Islam seluruh negara telah melangkah masuk ke bulan Ramadhan yang penuh keberkatan. Rentetan daripada ketibaan Ramadhan, suasana baru yang tidak dapat dilihat pada bulan-bulan lain akan mengambil tempat.

Di antaranya menggambarkan ciri ibadah puasa yang sebenar serta tidak kurang juga puasa sebagai adat atau pesta tahunan.

Oleh itu, umat Islam perlu benar-benar memahami falsafah puasa yang selaras dengan Al Quran dan sunah serta mengelakkan daripada menjadikan puasa hanya sebagai adat tahunan sahaja.

Di antara ciri-ciri tingkah laku yang perlu dihindarkan kerana telah menjatuhkan martabat puasa kepada tahap adat semasa ialah:

* Menyempitkan skop puasa hanya dengan menahan makan dan minum pada siang hari sahaja. Sedang mata, hati dan lidah tidak ditahan daripada melakukan dosa. Rasulullah s.a.w bersabda: Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan buruk dan perbuatannya tatkala berpuasa, maka tiada hajat Allah baginya (kerana pahala akan terhapus) walaupun meninggalkan makanan dan minumannya. (riwayat Al-Bukhari)

* Berpuasa pada siang hari sahaja daripada melakukan dosa dan maksiat. Selepas berbuka segala kegiatan maksiat seperti mengumpat, merokok, mencaci, melakukan zina mata diteruskan seperti biasa.

* Berlebih menyediakan juadah berbuka puasa sehingga melakukan pembaziran. Allah berfirman, Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara kepada syaitan. (al-Isra':27)

* Berlebih makan ketika berbuka sehingga meletihkan badan dan menghalang daripada melakukan ibadah di malamnya. Sikap bersederhana Rasulullah s.a.w di dalam berbuka puasa perlu dicontohi sebagaimana maksud hadis: Rasulullah s.a.w berbuka dengan kurma basah (rutab) sebelum solat dan sekiranya tiada rutab, maka tamar dan jika tiada, baginda meminum beberapa teguk air. (riwayat Abu Daud, Ahmad & Al-Tirmidzi)

* Malas menghidupkan malam Ramadan dengan ibadah sunat seperti melakukan solat tarawih, solat malam dan sebagainya.

* Terdorong untuk bersolat tarawih hanya kerana sandaran kepada hadis palsu yang menyatakan kelebihan bersolat tarawih pada setiap malam. Untuk itu, pihak berkuasa agama perlu menghindarkan penyebaran hadis inidaripada berleluasa seperti tahun-tahun terdahulu.

* Mengabaikan ibadah malam bermula dengan solat berjemaah maghrib, isyak dan tarawih kerana sibuk menonton televisyen atau kerana urusan-urusan lain.

* Malas bekerja dan tidak produktif semasa berpuasa dengan alasan keletihan. Bayangkan bagaimana nabi s.a.w dan para sahabat berperang Badar dengan nisbah 300 melawan 1,000 orang.

* Malas membaca Al Quran atau hanya mengehadkan bacaanpada surah Yasin sahaja. Sedangkan baginda s.a.w senantiasa menyemak dan mengkhatamkan Al Quran sekali di dalam bulan Ramadan dengan Jibril a.s.

* Malas berdoa sedangkan doa orang yang puasa akan dimakbul oleh Allah berdasarkan sabda nabi s.a.w : Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu tatkala waktu berbukanya, adalah waktu doa yang tidak ditolak. (riwayat Ibn Majah).

* Mengabai serta meninggalkan peluang beribadat pada 10 malam terakhir Ramadhan kerana sibuk dengan persiapan menyambut hari raya.

* Tidak bersedih dengan berakhirnya bulan Ramadhan. Juga tidak bimbang sekiranya tidak dapat bertemu Ramadhan yang akan datang.

* Memiliki kepercayaan-kepercayaan karut tentang kepulangan roh orang yang telah mati pada bulan Ramadhan. Sedangkan kepercayaan tersebut adalah bertentangan dengan konsep roh dan alam barzakh (al-Mukminun: 99-100)

* Kepercayaan kepada perlunya menyalakan pelita pada malam 7 likur. Akibat kepercayaan ini Islam telah terfitnah dengan tohmahan pihak tertentu yang mengatakan malaikat orang Islam rabun malam. Oleh sebab itu, pelita perlu dinyalakan sebagai panduan kepada para malaikat yang turun membawa berkat. (Rujuk- http://youtube.com/watch?v=RgT-_Uf62rk)

* Tidak menunaikan sembahyang fardhu ketika berpuasa atau hanya bersolat pada bulan Ramadhan sahaja. Sabda nabi s.a.w : Beza di antar seorang Muslim dengan syirik serta kekufuran adalah meninggalkan solat. (riwayat Muslim). Menurut sebahagian ulama salaf, orang yang meninggalkan solat dengan sengaja dihukum kafir. Maka sudah pasti amalan puasa orang yang kafir tidak akan diterima oleh Allah.

* Memusnahkan pahala puasa sebulan dengan sambutan hari raya yang melampau sehingga melakukan maksiat.

Ini adalah di antara beberapa kesalahan yang biasa dilakukan oleh umat Islam semasa menjalankan ibadat puasa yang telah merendahkan martabat bulan Ramadhan. Oleh itu, kita perlu menghindarkan perkara-perkara tersebut demi menjamin pahala yang berganda di bulan ini.

Ini berdasarkan sabda baginda s.a.w yang bermaksud: Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh iman dan mengharapkan pahala, diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lepas. (riwayat al-Bukhari)

01 Ogos, 2010

Hilangnya Sebutir Permata Menjelang Ramadhan


Taman Jali, 1 Ogos 2010 - Seorang bekas tenaga pengajar MADI; Ustazah Nurhasni Djamhir Syamsuddin telah kembali ke pangkuan Ilahi pada jam 9.00 pagi tetapi pihak hospital mengesahkan bahawa Almarhumah telah tiada sejak subuh lagi akibat penyakit penat yang dihidapinya sejak beberapa ketika dulu.

Beliau mengikut jejak langkah suaminya; Almarhum Ustaz Ghufran yang telah kembali ke rahmatillah 2 tahun lepas meninggalkan 5 orang anak yang bongsunya berusia 10 tahun. Almarhumah merupakan guru yang berdedikasi dan berwibawa dalam mencurahkan ilmu kepada masyarakat terutamanya bekas pelajar MADI sekitar tahun 1998-2005.

Beliau yang yang berasal dari Indonesia
memiliki ijazah Pengajian Islam dari Kuliyyah At Tarbiyyah Lil Banat Arab Saudi pernah menyumbangkan ilmu di merata tempat sehingga sebelum menghembuskan nafas terakhir, beliau berkhidmat di IPTIPs.

Almarhumah selamat dikebumikan jam 6.00 petang tadi dengan kehadiran ratusan rakan-taulan, anak murid dan jiran-tetangga memberi penghormatan terakhir terhadap jenazah. Tidak ketinggalan guru, kakitangan dan sahabat Alumni MADI juga turut hadir dan mendoakan semoga roh beliau ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman dan soleh.

31 Julai, 2010

Musibah Terhadap Seseorang Boleh Mendidik


Setiap orang tidak ada jaminan untuk selamat daripada ujian Allah. Ujian itu didatangkan Allah mengikut tahap iman seseorang. Orang awam tentu ujian terhadapnya lebih ringan daripada ujian terhadap ulama. Oleh sebab itu ujian Allah tidak sama antara seseorang dengan seorang yang lain.

Jenis-Jenis Musibah dan Tujuan Allah datangkan kepada seseroang adalah:

Jenis

Bila boleh berlaku

Tujuan

Firman Allah

Bala’

Apabila orang yang jahat melakukan kejahatan.

Dihina di dunia sebelum dihina di akhirat.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah menghukum (firaun dan) kaumnya dengan (mendatangkan) musim kemarau yang panjang dan kekurangan buah-buahan, supaya mereka mengambil pelajaran.” (Surah al-Araf 7: 130)

Ibtila’

Apabila orang yang baik melakukan kebaikan.

Sebagai ujian dan meningkatkan darjatnya sebagai orang Mukmin.

Allah berfirman yang bermaksud: “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: ‘Kami telah beriman’, sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang yang dusta.” (Surah al-Ankabut 29: 2-3)

Kafarah

Apabila orang yang baik melakukan kejahatan.

Supaya mereka kembali kepada Allah iaitu bertaubat.

Allah berfirman yang bermaksud: “Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.” (Surah al-Anbiya’ 21: 35)

Umat Islam yang didatangkan musibah kadang-kadang putus asa dan tidak sanggup hidup menderita. Padahal kalau dia bersabar dan membuat perubahan, mereka dijamin syurga. Namun realiti umat Islam kini tidak begitu, mereka lebih sanggup mati awal sebelum diuji. Sedangkan Allah menegaskan seseorang yang diuji itu adalah untuk meningkatkan iman mereka.

Beruntunglah mereka yang melihat positif kepada ujian atau musibah yang menimpa terhadap dirinya kerana dengan ini dia berpeluang membuat perubahan pada dirinya baik dalaman mahupun luaran.

Oleh :
Ahmad Baei Jaafar

25 Julai, 2010

Nisfu Sya'ban dan Fatwa Tentangnya


Sebagaimana telah kita ketahui apabila tibanya malam 15 Sya’aban, ramai yang akan ke masjid untuk solat jemaah dan membaca yasin sebanyak 3 kali. Tetapi tahukah kita dari mana amalan itu berasal? Sedangkan kita tahu, bahawa sesuatu ibadah khusus yang dilakukan jika tiada amalan atau dalil dari nabi Muhammad S.a.w maka dikira bid’ah.

Persoalannya mengapa perlu dilakukan sebanyak 3 kali dan dikhususkan pada malam tersebut? Sedangkan bacaan Yasin boleh dilakukan pada bila-bila masa dan tidak terhad kepada berapa kali.

Seperti yang selalu saya lihat, bacaan Yasin yang dibuat sebanyak 3 kali itu dilakukan dengan pantas dan terkejar-kejar. Mungkin ianya sesuai dengan orang yang sudah mahir membaca Qasar, tetapi bagaimana dengan mereka yang tidak mahir dengan bacaan Qasar lebih-lebih lagi bagi yang tidak mahir membaca AlQuran bertajwid. Tidakkah itu sudah menjadi tunggang-langgang dan tidak berlaku dalam keadaan yang tenang. Apakah bagus membaca AlQuran dalam keadaan tergesa-gesa dan salah tajwidnya? Apakah hikmah di sebalik tergesa-gesa dan tidak faham apa yang dibaca itu?

Sebenarnya tiada hadith yang sahih yang memberitahu tentang bacaan yasin 3 kali pada malam nisfu Syaaban ini dan jika ada pun, ianya adalah hadith berkenaan kelebihan malam nisfu Syaaban yang dhaif dan juga terdapat dalam hadith maudhu’ (palsu). Walau bagaimanapun ada sebahagian ulama berpendapat hadis dhaif boleh dipegang dalam amalan sunat secara perseorangan. Tetapi tidak sekali-kali dengan hadith maudhu’. Ingat, hadith maudhu’ maknanya hadith PALSU, dan hadith PALSU hanyalah hadith yang direka-reka oleh golongan tertentu. Dengan kerana itu, adalah penting agar kita berhati-hati dalam memahami martabat sesuatu hadith itu.

Namun , dalam soal bacaan Yasin sebanyak 3 kali dalam nisfu Syaaban tetap tidak ada hadith yang sahih berkenaannya dan amalan tersebut tiada ditunjukkan contoh langsung oleh nabi dan sahabat. Maka mengapa kita sekarang ini mengadakan majlis tersebut di masjid-masjid apabila tibanya malam nisfu Syaaban sahaja? Mengapa perlu menetapkan malam itu untuk membaca Yasin 3 kali dan berduyun-duyun menuju ke masjid sedangkan malam lain tidak? Itu yang perlu diperhati bersama.

Dan saya tidak berani mengatakan amalan tersebut haram. tetapi kita perlu ingat, amalan ibadah khusus yang bukannya berasal dari nabi sudah dikira bid’ah dan dibimbangi amalan itu akan menjadi penat dan lelah semata-mata kerana tidak berasas atau menambah dosa sahaja. Tetapi menurut fatwa dari Syeikh Abdul Aziz bin Baaz, amalan itu dikira bid’ah dan penjelasannya ada saya sertakan di bawah nanti.

Maka sebaiknya adalah kita lakukan sahaja amalan membaca Yasin atau apa-apa sahaja bacaan AlQuran , tanpa perlu dikhususkan 3 kali dan seumpamanya. Dan yang penting, bacaan itu biarlah TERTIB, TENANG dan memberi keinsafan kepada kita dan bukannya semata-mata mahu mengejar pahala sehingga membaca AlQuran dengan tergopoh dan salah tajwid dan mengatakan sepatutnya melakukan bacaan Yasin 3 kali itu.

Pengertian nisfu Syaaban

Nisfu dalam bahasa arab bererti setengah. Nisfu Syaaban bererti setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam lima-belas Syaaban iaitu siangnya empat-belas haribulan Syaaban.

Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul qadr. Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi saw tidak tidur pada malam itu sebagaimana yg tersebut dalam sebuah hadis yg diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi r.a:

Rasulullah saw telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dan sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda saw dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda saw berkata dlm sujudnya, “Ya Allah aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yg akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung kpdMu daripadaMu. Aku tidak dpt menghitung pujian terhadapMu seperti kamu memuji diriMu sendiri.”

Baca selanjutnya di sini >>>http://idhamlim.blogspot.com/2010/07/nisfu-syaaban-dan-fatwa-tentangnya.html

03 Julai, 2010

KEAJAIBAN OTAK...

20 Rejab 1431H
Oleh : Seri Budiman

Seorang doktor di Amerika Syarikat telah memeluk Islam kerana beberapa keajaiban yang ditemuinya dalam penyelidikannya. Dia amat kagum dengan penemuan tersebut, sehingga tidak dapat diterima oleh akal fikiran.

Dia adalah seorang Doktor Neurologi . Setelah memeluk Islam, dia amat yakin akan perubatan secara Islam dan dengan itu telah membuka sebuah klinik yang bertemakan “Perubatan Melalui Al-Qur’an” . Kajian perubatan melalui Al-Qur’an membuatkan ubat-ubatannya berteraskan apa yang terdapat di dalam Al-Qur’an.

Di antara kaedah-kaedah yang digunakan termasuklah berpuasa, madu lebah, biji hitam (black seed) dan sebagainya. Apabila ditanya bagaimana dia tertarik untuk memeluk Islam, maka doktor tersebut memberitahu bahawa semasa beliau melakukan kajian urat saraf, terdapat beberapa urat saraf di dalam otak manusia yang tidak dimasuki oleh darah . Padahal setiap inci otak manusia memerlukan darah yang cukup untuk berfungsi secara normal. Setelah membuat kajian yang memakan masa, akhirnya beliau mendapati Bahawa darah tidak akan memasuki urat saraf di dalam otak manusia melainkan pada ketika seseorang itu sedang sujud semasa mengerjakan Sembahyang!!!

Urat tersebut memerlukan darah hanya untuk Beberapa sukatan yang tertentu sahaja. Ini bermaksud bahawa darah hanya akan memasuki urat tersebut mengikut kadar sembahyang waktu yang diwajibkan oleh Islam…… Begitulah keagungan ciptaan Allah!!! tidak menunaikan sembahyang , akan otaknya tidak Akan dapat menerima darah yang secukupnya untuk berfungsi secara normal!!! Oleh yang demikian, kejadian manusia ini sebenarnya adalah untuk menganuti agama Islam ’sepenuhnya’ kerana sifat fitrah kejadiannya memang telah dikaitkan oleh Allah dengan agama-Nya yang indah ini

NOSTALGIA