23 Ogos, 2009

KELEBIHAN RAMADHAN.....

* Bersabda Nabi (s.a.w) : Bahawa syurga berlenggang-lenggang ia dan berhias dari setahun ke setahun kerana masuknya bulan Ramadan. Pada awal malam bulan Ramadan bertiup angin di bawah Arasy bergeraklah daun kayu lemah-longlainya di dalam syurga. Terdengarlah desiran daun-daun kayu, hembusan sang bayu syurga yang teramat indahnya.Seni rentak lagunya menawan seluruh perasaan nurani. Maka berhiaslah bidadari sekaliannya lalu berdirilah di atas puncak mercu syurga itu. Lantas bersuaralah bidadari : Adakah orang yang hendak meminang kami kepada Allah, kata bidadari pula: Apakah malam ini namanya? jawab Malek Ridwan (malaikat), Hai bidadari yang cantik manis, inilah malam awal Ramadhan, Lalu Allah berfirman: Hai Ramadan bukalah pintu syurga Bab AlJanan untuk orang-orang yang berpuasa daripada umat Muhammad (s.a.w). Hai Malek Ridwan tutuplah pintu neraka Al-Jahim daripada umat Muhammad (s.a.w), hai Jibrail belenggukan syaitan, lontarkannya ke dalam lautan supaya tidak membinasakan umat Muhammad akan puasanya. Maka berfirman Allah pada tiap-tiap malam Ramadan tiga kali : Adakah orang yang meminta ampun? Akan Aku ampunkan!

* Pada malam Lailatul Qadar menyuruh Allah Ta'ala akan Jibrail Alaihisalam turun ke bumi, lalu turunlah Jibrail ke dalam perhimpunan malaikat ke bumi bersamanya bendera hijau lalu dipacakkan ke atas Kaabah, baginya 600 sayapnya , setengahnya tiada dibuka keduanya, melainkan pada malam Lailatul Qadar baharulah dibukakan keduanya, hingga sampai dari timur ke barat ( Musyriq Ke Maghrib ). Untuk menyelamatkan umat Muhammad, Lalu memberi salam kepada tiap orang yang berjaga pada malam Lailatul Qadar beribadah kerana mencari keredaan Allah, dan orang-orang yang duduk beribadah, orang yang sembahyang dan berzikir dan berjabat tangan sesama mereka mukmin dan mengucap amin doa orang-orang mukmin hingga terbit fajar subuh....... berkata para malaikat kepada Jibrail , apakah Allah berikan pada hajat orang mukmin dari umat Muhammad (s.a.w) pada bulan Ramadan ini? Berkata Jibrail bahawasanya Allah menilik kepada umat Muhammad yang berpuasa dan beribadah padanya dan dimaafkan mereka, diampunkan dosa-dosa mereka, melainkan empat orang yang tiada diampunkan dosanya: yaitu orang yang kekal minum arak, orang yang derhakakan ibubapanya, orang yang memutuskan sillaturrahim dan orang yang tidak bercakap dengan saudaranya lebih dari 3 hari.

* Apabila pada malam akhir Ramadan dinamakan malam persalinan. Pada malam hari raya Aidilfitri didatangkan Allah malaikat kepada tiap-tiap negeri turunlah mereka ke bumi, berdiri pada permukaan jalan menyeru dengan suara yang kuat, semua mendengarnya kecuali jin dan manusia berkata mereka, hai umat Muhammad keluarlah kamu menghadap tuhan yang amat mulia (sembahyang raya di pagi raya) yang memberi pemberian yang berpanjangan dan mengampun akan dosa-dosa yang besar. Apabila tibalah umat Muhammad ke tempat sembahyang, firman Allah kepada maliakat : Hai malaikatKu, apakah balasan orang yang mengambil upah apabila selesai kerjanya ? Jawab malaikat , hai Tuhan kami, sempurnakanlah upahnya! Firman Allah bahawa Aku saksikan kamu hai malaikatku, telah aku jadikan pahala mereka dari puasa mereka pada bulan Ramadan mereka mendirikan sembahyang, ialah keredaanKu dan keampunanKu kepada mereka! Maka firmannya lagi : Hai segala hambaku, pohonlah kamu kepada ku, maka demi ketinggianku dan kebesaranku, tiada memohon kepadaku hari ini akak sesuatu bagi agamamu dan duniamu, melainkan Aku kurniakan kepadamu! (Al-Hadith).

* Sabda Nabi (s.a.w) : Diberi kepada umatku lima perkara yang belum pernah diberi kepada umat-umat dahulu sebelumnya :
a) Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada kasturi di sisi Allah
b) Segala perbelanjaan dan derita lapar selama puasanya adalah syurga balasannya.
c) Diampunkan dosa-dosa mereka pada malam Lailatul Qadar.
d) Amalan yang dilakukan pada bulan Ramadan digandakan kepada 10 hingga 700 kali ganda, melainkan puasa maka ianya bagiKu, Aku balas kepadanya yang berkuasa menahan syahwatnya, makan minumnnya kerana Aku.
e) Dan mereka dikurniakan nikmat kepada mereka keseronokkan ketika berbuka dan ketika menemui tuhan di akhirat.(Al-Hadith)

* Orang yang sembahyang bulan Ramadan tiap sekali sujud, dikurniakan kepadanya 1700 kebajikan, dan dibinakan rumah didalam syurga daripada permata bagi orang yang berpuasa dan beribadat, 75000 malaikat meminta ampun baginya dari pagi hingga tenggelam matahari, dan dibina sebuah mahligai baginya . (Al-Hadith)
Pada hari Qiamat, Allah memerintah Malek Ridwan supaya dikeluarkan orang-orang berpuasa daripada kuburnya dengan keadaan lapar dan dahaga, lalu disuruh Malek Ridwan berikan segala keinginan mereka dari segala macam makanan dan minuman syurga. Maka Malek Ridwan memerintah kepada anak-anak membawa talam-talam makanan , minuman dan buah-buahan. Sebagai balasan berlapar di bulan Ramadan. (A-Hadith)

*Orang mukmin yang tidur dalam bulan puasa kerana puasa Ramadan, dia membalikkan badannya sambil meyebut Allah! maka kata malaikat kepadanya : Rahimakallah (Allah Mencucuri Rahmat kepada kamu.)
- Apabila dia berdiri maka berdoalah hamparannya : (Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadanya hamparan permaidani tebal kepadanya di dalam syurga)
- Apabila memakai pakaian , berdoalah pakaian (Wahai Tuhanku, kurniakan kepadanya pakaian syurga)
- Apabila memakai kasut, berdoalah kasut (Wahai Tuhanku, tetapkanlah atas titian Siratul Mustaqim!)
- Apabila memegang timba berdoalah pula timba : (Wahai Tuhanku kurniakan kepadanya gelas syurga!)

- Apabila mengambil air sembahyang , berdoalah air itu : (Wahai Tuhanku sucikannya daripada segala dosa dan kesalahan!)

- Apabila berdiri sembahyang , berdoalah rumahnya: ( Wahai Tuhanku cahayakanlah kuburnya dan luaskanlah , lapangkanlah kuburnya!)

Serta menilik Allah kepadanya , maksudnya : HambaKu berdoa dan Aku menerima! (Al-Hadith)

* "Bahawa di dalam syurga terdapat bilik bilik, dilihat dari luar nampak di dalamnya dan dilihat dari dalam kelihatan di luarnya, berkata sahabat : untuk siapakah ya Rasulullah? Lantas Baginda menjawab : Ialah bagi orang yang baik percakapannya, bagi orang yang memberi makan makanan, bagi orang yang sentiasa berpuasa, bagi orang yang sembahyang di tengah malam sedang manusia banyak tidur." (Al Hadith)

* Sabda Nabi (s.a.w) : Bahawa pintu langit dan pintu syurga dibuka pada awal Ramadan hingga akhir malam Ramadan, tiap orang yang bersembahyang pada malamnya dituliskan baginya tiap satu sujud 1700 kebajikan, dibina rumah baginya di dalam syurga daripada yaqut merah indah, baginya 70 pintu daripada emas yang bertatah yaqut permata yang merah, orang yang berpuasa pada awal Ramadan diampunkan segala dosanya hingga ke akhir bulan Ramadan, dibinakan baginya tiap tiap hari sebuah mahligai di dalam syurga, mempunya 1000 pintu daripa emas, dan meminta ampun baginya 70 000 malaikat dari pagi hingga tenggelam matahari (Al Hadith)

* Apabila berakhir bulan Ramadan, menangis wali-wali Allah kerana terpisahnya bulan yang paling mulia yang digandakan ibadat berlipatkali ganda daripada bulan bulan yang lainnya, bulan Allah mudah menerima ampun taubat hambaNya, bulan yang banyak sekali diturun rahmat ke alam, bulan yang terdapat padanya malam Lailatul Qadar, suatu rahmat dan rahsia yang dikurniakan kepada hamba hamba Nya yang salihin, yang tidak terdapat pada bulan bulan yang lainnya. Mereka menangis kerana belum tentu akan dapat menemui bulan termulia ini pada tahun tahun hadapan, kiranya dipanjangkan umur.

* Apabila berakhirlah malam bulan Ramadan, menangislah tujuh petala langit dan tujuh petala bumi, dan segala malaikat, jerana berlalu Ramadan berlalulah kelebihan, sebab musibah bagi umatku, dan duduk segala malaikat bagi musibah, orang bertanya : Ya Rasullullah, apa itu musibah ? Jawab rasullullah (s.a.w), Kerana segala doa padaNya itu mustajab, sedakah makbul, segala kebajikan digandakan dan siksa kubur diangkat, maka apakah musibah yang terlebih besar daripada ini bagi umatku?! (Al-Hadith)

19 Ogos, 2009

Adakah H1N1 Merupakan Propaganda Yahudi???

Pernahkah anda dengar tentang ‘senjata biologi' (biological weapon)? Mungkin ada antara kita yang pernah dengar tentangnya, tetapi tidak begitu mengetahui mengenainya. Mungkin kerana sikap diri yang merasakan tidak perlu untuk mengetahui tentang sesuatu yang tidak berkaitan dengan diri sendiri. Sedangkan perlu untuk diketahui bahawa seseorang yang cetek ilmunya akan mudah ditindas dan dieksploitasi oleh pihak-pihak tertentu. Maka, sewajarnya sebagai seorang individu muslim,untuk sentiasa bersiap sedia dan berwaspada dengan keadaan sekeliling. Musuh; sama ada yang mampu dikesan oleh pancindera ataupun tidak, sentiasa berlegar-legar untuk menjatuhkan kita. Musuh ini terkadang bukan sahaja berniat tidak baik terhadap umat Islam, malah kepada sesiapa sahaja yang pada pandangan mereka yang tidak memberi manfaat kepada mereka.

Senjata biologi ini boleh ditakrifkan sebagai ‘senjata' yang diperbuat menggunakan agen seperti mikrob (bakteria, virus dan lain-lain) untuk melumpuhkan musuh. Agen ini akan merosakkan proses biologi (biological process) sel-sel badan manusia atau pun haiwan serta tumbuhan, yang dianggap sebagai ‘musuh' tadi. Ciri-ciri yang membolehkan pemilihan kepada sesuatu agen ini ialah ianya murah serta mudah didapati, senang untuk dipindahkan daripada satu individu ke satu individu yang lain, dan bertoksik tinggi.

Virus influenza H1N1 berasal daripada virus influenza type A. Virus dikategorikan sebagai benda bukan hidup (non living thing), tetapi, berbeza dengan benda bukan hidup yang lain, virus mampu membiak dengan bantuan sel rumah (host cell). Kebiasaannya, sel rumah yang digunakan untuk tujuan pembiakan virus ini ialah sel-sel badan manusia, haiwan mahupun tumbuhan-tumbuhan. Hal ini adalah kerana, sel-sel ini mempunyai keupayaan untuk memberi nutrient kepada virus tersebut untuk membiak.

Bagi mereka yang mempunyai ilmu tentang ini, sudah tentu mereka akan mempunyai pandangan yang lebih jauh ke hadapan. Maka, bukanlah suatu yang mustahil jika ada pihak yang mendakwa bahawa virus influenza H1N1 ini, adalah salah satu bentuk penyerangan yang dilakukan oleh pihak-pihak yang tertentu.

Dakwaan-dakwaan yang dilakukan adalah berdasarkan kepada beberapa bukti dan perkaitan yang mungkin mempunyai hubung kaitnya. Antaranya ialah apabila Pengarah Makmal Universiti of Rockefeller diberi anugerah perubatan beberapa hari sebelum berita tentang influenza ini terjadi. Pengarah tersebut juga merupakan Ketua Pengarah di sebuah institut penyelidikan vaksin yang dilantik oleh kerajaan Amerika, Trudeau Institute . Institut ini juga bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan Amerika. Individu yang dimaksudkan ialah Dr. Ralph Steinman. Kepakaran yang dimiliki oleh beliau dalam bidang "dendritic cells" dan pemvaksinan memungkinkan beliau dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu. "Dendritic cells" berperanan dalam menghasilkan tindak balas terhadap immune badan. "Dendritic cells" ini juga memainkan peranan penting dalam sistem pertahanan badan kerana ia termasuk di dalam sistem pertahanan pertama (primary immune response). Apabila suatu mikroorganisma berbahaya bertindak untuk menyerang badan manusia, sistem pertahanan pertama memainkan peranan yang penting dalam mengawal kemasukan mikroorganisma tersebut. Jadi, peranan yang dimainkan oleh sel tersebut adalahyang terpenting. Seseorang yang mempunyai pengetahuan tentang nya mampu memanipulasi, mahupun mengawal fungsinya. Jadi, apabila apabila ada pihak yang mahu menggunakan senjata biologi sebagai alat untuk menyerang, adalah suatu yang penting untuk mereka ketahui proses perjalanan sistem pertahanan badan manusia.

Dakwaan yang kedua pula ialah berdasarkan ucapan yang telah dibuat oleh Dr. David L. Woodland, iaitu Presiden dan Direktor Trudeau Institute. Ucapan tersebut dibuat oleh beliau pada bulan Oktober tahun 2008, iaitu lebih kurang 5 bulan sebelum virus influenza H1N1 menghantui penduduk dunia. Institut tersebut turut diberi bantuan sebanyak $1.6 million atas tujuan pembiayaan untuk pembangunan vaksin bagi sesuatu pandemic influenza. Apabila diteliti ucapan yang dibuat oleh beliau, beliau seperti dapat menjangka bahawa satu pandemic akan muncul di atas muka bumi ini. Jadi, timbul suatu keraguan diatas ucapan tersebut. Apakah beliau, mahupun pihak-pihak yang bersekutu mempunyai suatu kuasa yang membolehkan mereka menjangkakan dan meramal sesuatu yang terkehadapan? Ataupun adakah mereka yang mendalangi pandemic tersebut? Hanya Allah yang lebih Mengetahui.

Peristiwa runtuhan World Trade Center (WTC) pada 11 September 2001, juga di dakwa sebagai salah satu muslihat yang dibuat oleh pihak tertentu untuk memburukkan nama Islam. Bermula daripada tarikh tersebut perkataan "terrorism" semakin mendapat tempat di bibir penduduk dunia. Penggunaan istilah tersebut di dakwa digunakan oleh pihak tersebut dalam usaha mereka mendesak U.S Senate untuk membuka semula Biological Weapon Programme yang pernah ditutup dibawah Protokol Geneva[10]. Secara generalnya, protokol ini telah menghentikan sebarang penggunan senjata biologi, dimana boleh dikatakan seluruh negara telah menandatangai protokol ini sebagai persetujuan. Namun, ada pihak yang menjadikan peristiwa 11 September sebagai alasan untuk menggunakan kembali senjata biologi ini dengan alasan bahawa ada kemungkinan "terrorist" menggunakan senjata biologi dalam serangan-serangan gerila.

Bukanlah suatu yang mudah untuk menentukan sama ada sesuatu pandemic yang terjadi itu adalah hasil daripada serangan secara biologi oleh pihak yang tertentu, ataupun tidak. Jika benar ia adalah suatu penyakit yang telah dirancang dengan hebatnya, sudah tentu si perancang akan berusaha untuk menafikan segala perbuatannya. Penafian demi penafian akan dibuat, dalam masa yang sama segala bukti akan cuba ditutup dan dikaburkan agar agenda mereka yang sebenar tidak kelihatan. Namun, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya akan jatuh ke tanah juga.

18 Ogos, 2009

Kisah 5 perkara aneh!!!

Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara. Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya."

Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan."
Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.

Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut. Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.

Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku." Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."

Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya. Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."

Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah s.w.t. bahawa, "Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.
Kedua semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua. Ketiga jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya. Keempat jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat. Kelima bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."

Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain. Haruslah kita ingat bahawa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu."

Maka berkata Allah s.w.t., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu." Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar.

10 Ogos, 2009

MURTAD KERANA CINTA....

kembalikan anakku Nur Amana

Senja menyerakkan warna di u***** barat ketika aku keluar daripada perkarangan penjara, meninggalkannya dengan pandangan sayu yang penuh dengan luka tersayat.

Air mataku telah kering untuk menangisi episod hari ini lantaran tragedi semalam yang cukup menyedihkan. "Sabarlah, Sumaiyah....," cuma pesanan itu yang diingatkan oleh suamiku sebelum aku melangkah pergi sebentar tadi. Ya, Siti Sumaiyah ini akan terus sabar kerana sabar itulah yang paling baik. Kerana sabar itulah yang terindah. Biarlah aku menjadi seperti Sumayyah, sahabat Rasullulah s.a.w. yang terus sabar dan teguh disiksa bertubi-tubi. Namun demi dinullah, keimanan terus dipertahankan.

Selepas solat Maghrib, doaku berentet panjang. Air mataku mengalir tanpa henti. Aku sedih. Aku kecewa. Aku benar-benar terasa sedih di bumi fanaini. Tiada lagi kegembiraan yang menguliti. Telah hilang senda gurau Nur Amana, puteri tunggalku. Sudah lenyap bisikan sayang suami tercinta. Semuanya telah tiada.

Sekelilingku pemuh tomahan yang menyakitkan. Disekitarkan saban hari dihidangkan kisah-kisah melukakan.Suamiku pula kini dipenjara. Lengkaplah penderitaan ini. Aku sendiri tanpa dorongan dan semangat yang saban hari ditiupkan dalam rohku.

Tiba-tiba hati kecilku berbisik, bahawa Allah tidak pernah meniggalkan hamba-Nya sendirian. Ingatanku melayang pada firman-Nya dalam surah Ad-Dhuha.

"Allah bersumpah demi waktu dhuha dan demi malam apabila telah sunyi, sesungguhnya Allah tidak pernah meninggalkan dan membenci hamba-Nya.Kelak, Allah akan memberikan kurnia-Nya dan hatimu pasti akan melindungimu?. Dulu kau dalam keadaan bingung lalu Allah melindungimu?. Dulu kau dalam keadaan bingung lalu Allah memberi petunjuk. Dan dia mendapatimu dalam serba kekurangan lalu Dia mencukupkan".

Astagfirullah!. Aku beristigfar berkali-kali. Sesungguhnya aku tidak sendiri. Allah bersamaku. Allah mendengar keluhanku. Allah tahu resah dan gelodak yang melanda jiwaku. Allah tahu semua itu. Aku sujud panjang, memohon istighfar. Air mataku mengalir. Aku terlena di atas sejadah. Tubuhku benar-benar letih. Sudah hampir sebulan aku berada dalam keadan tidak menentu. Makan minumku sekadarnya. Tidurku dihantui mimpi-mimpi ngeri. Hari-hariku penuh kesedihan dan kekecewaan. Emosiku terganggu...

Hatiku berdebar-debar menunggu keputusan doktor. Wajah doktor wanita yang bulat bersih itu kutatap sungguh-sungguh. "Emm... positif! Memang Puan mengandung...," dia tersenyum memandangku. "Iyakah?," Aku seperti tidak percaya. Dia mengangguk. "Tahniah! Inai masih merah lagi... memang mahu anak awal?", tanyanya. Aku angguk. "Tentu husband Puan gembira,sampaikan ucapan tahniah saya padanya," katanya sebelum aku meninggalkannya.

Suamiku yang menunggu di luar tidak sabar menanti jawapan. "Macammana?," Tanyanya. "Abang nak atau tidak?". "Mestilah nak!". "Kalau Abang nak... adalah!".

Dia mengucup dahiku. Pelukannya erat. Aku gembira. Dia gembira. Tuhan,syukurlah atas nikmat ini. Aku tahu dia amat sayang padaku. Seperti sayangku padanya. Dan seperti kasih kami kepada janin dalam rahimku. Dia menjagaku sebaiknya. Makan minumku, sakit peningku. Dan segala-galanya. "Doalah, semoga anak kita jadi anak yang baik,". Hari-hari itu yang diingatkan padaku.

Aku teringat isteri Imran sewaktu mengandungkan Siti Maryam, wanita suci, ibu Nabi Isa a.s. yang diberi kelebihan melahirkan anak tanpa bapa. Isteri Imran menazarkan anak dalam kandungannya menjadi hamba yang soleh dan berkhidmat di Baitul Maqdis. Setelah melahirkan seorang puteri, dia berdoa lagi semoga anak-anaknya diberi perlindungan daripada syaitan yang terkutuk.

Aku pun ingin memiliki anak yang soleh, yang luhur pekertinya dan teguh memegang syariat Allah s.w.t pada akhir zaman. Lalu, hari-hari kubisikan kepadanya kata-kata yang baik. Biarpun dia masih di dalam rahim. Aku pasti ada pertalian yang menghubungkan aku dengannya. Aku nyatakan harapanku dan saban hari bibirku tidak kering melagukan ayat suci Al-Quran. Surah Yasin, Al-Luqman, At-Taubah, Yusuf dan Maryam telah sebati dalam pengalamanku. Sebelum melelapkan mata, suamiku akan mengajarnya membaca Al-Fatihah. Dan alangkah gembiranya hati bakal ibu apabila janinnya bergerak-gerak, memberi tindak balas pada kalimahtayyibah yang diajarkan.

Akhirnya dia kulahirkan setelah melalui kesakitan antara hidup dan mati.Terubat hatiku melihat senyumannya. Dia banyak menyalin rautku. Berkulit dan berwajah bujur sirih. Paling seronok melihat lekuk di kedua belah pipinya bila dia tersenyum. Nur Amana, nama pilihan suamiku. Menggabungkan maksud cahaya Ilahi yang menaungi setiap sudut hidupnya. Penuh barakah dan rahmat. Biar dia menjadi wanita terpuji. Memiliki iman setinggi iman Siti Fatimah az-Zahra, puteri Rasullulah s.a.w. yang terunggul.

Dan membesarlah dia dalam limpahan kasih sayang aku dan suami. Takdir Allah s.w.t. menyuratkan kami tidak memperoleh anak lagi selepas kelahirannya. Pelbagai usaha kulakukan, namun barangkali puteri seorang itu sajalah amanah yang perlu disempurnakan sebaiknya. Aku akur. Suamiku tidak banyak bicara.Ketentuan Allah adalah sesuatu yang mesti diterima dengan reda.

Nur Amana anak yang bijak. Tidak sekadar memiliki kecantikan lahiriah, akhlaknya terpuji. Tutur katanya mendamaikan jiwa. Bila dipandang menyejukkan hati. Tidak pernah sekalipun mengangkat suara pada orang tua. Malah kata maaf sering diucapkan bila terasa lakunya menyentuh hati orang lain. Bahagianya hati suamiku. Sejuk perutku yang mengandungkan. Dan syukurku melimpah kerana ibarat dianugerahkan puteri seorang bidadari dari syurga.

Saat paling menyedihkan bila sepucuk surat bersampul coklat tiba pada suatu tengahari. Detik perpisahan bertemu jua. Nur Amana yang cermelang dalam pelajaran ditawarkan melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat. Pun, demi masa depannya kami merelakannya. Seperti suamiku, aku yakin dengan ilmu Islam yang diterapkan dalam jiwanya dia mampu menangkis segala unsur jahat.

Aku pasti Nur Amana akan terus teguh. Menjadi ikan yang tetap tawar biarpun hidup di lautan masin. Lalu hari-hariku diulit rindu yang dalam. Terkenang telatah manjanya, senyumannya, rajuknya, dan bila menjamah hidangan tengahari tersentuh hatiku, teringat dia yang jauh dirantau orang.

Kerabu pucuk paku dan ikan bakar sering membuatkanku menitiskan air mata. Lauk itulah kegemaran Nur Amana. Namun, rindu terubat juga bila sekali sekala suratnya menitip berita, menyatakan rindu dan kasih tidak terhingga.

Lima tahun di negeri orang, Nur Amana kembali dengan kejayaan embanggakan. Air mataku menitis. Jauh disudut hati, aku berbisik semoga anak inilah yang
mendoakan kesejahteraan ibu dan bapanya bila hayat berakhir nanti. Dan di luar dugaanku, pulangnya Nur Amana membawa satu perubahan yang ketara. Dia
berjilbab kini. Seluruh tubuh termasuk wajah ditutup dengan kerundung gelap. Pun aku bersyukur kerana perubahan itu menjurus kepada kebaikan.

Seperti suamiku, aku tidak membantah. "Di sana terlalu banyak fitnah, Ma...," beritahunya suatu hari bila kutanya apa yang mendorongnya memakai purdah. Aku pun menyedari, kemungkaran yang memenuhi negara kafir tempat Nur Amana menuntut ilmu itu. Alhamdulillah, kerana Nur Amana mengambil langkah bijak. Cuma saudara mara banyak membantah. Katanya, dengan keadaan yang
seperti itu, Nur Amana sukar mendapat pekerjaan nanti. Rugilah kelulusan tinggi yang diperolehi. Tapi Nur Amana cuma tersenyum mendengar pertentangan-pertentangan itu. "Jangan bimbang Ma, pasti ada rezeki untuk hamba Alah yang memegang syariat-Nya," Nur Amana memujukku. Dan hatiku berbunga lega. Benar seperti kata-katanya, tidak sampai sebulan pulang dari Amerika, Nur Amana mendapat kerja di sebuah syarikat di Kuala Lumpur. Aku tidak begitu tahu tentang tugasnya, tapi menurut Nur Amana sebagai eksekutif. Dan kehidupan kami berlangsung seperti biasa. Hilang sudah rindu membaraku. Nur Amana berada di sisiku kini.Hari-hari berada di depan mata. Cuma beberapa bulan kemudian, sikap Nur Amana mula berubah. Dia menjadi pemurung, jarang bercakap dan sering mengurung diri dalam kamarnya. Keluarnya bila ke tempat kerja atau bila kuajak makan bersama. Itupun kadang-kadang dia menolak. Beberapa kali aku cuba mencungkil isi hatinya. Kenapa tiba-tiba dia berubah laku. Pun aku tidak berjaya. Nur Amana cukup bijak mengelak dan menyembunyikan.

Sehinggalah suatu hari aku dihubungi oleh seseorang, katanya Nur Amana telah menghantar permohonan ke mahkamah untuk menukar agama kepada Kristian. Bergegar jantungku. Suamiku terdiam lama. Ketika itu Nur Amana tiada di rumah. Katanya out-station di Singapura selama seminggu. Aku dan suami mengambil langkah berdiam diri dahulu. Cerita sebenar perlu diperolehi oleh Nur Amana sendiri. Bagaimana mungkin orang itu boleh membawa khabar itu, kalau tidak ada apa-apa?. Apa sebenarnya yang dilakukan oleh Nur Amana sehingga
timbul fitnah yang sebegitu besar?. Persoalan demi persoalan menujam diri menjadikan aku gelisah menanti kepulangannya. Kepulangan Nur Amana kusambut dengan air mata yang entah untuk apa. Yang pasti hatiku cukup bimbang. Cenderamata dari Singapura dihadiahkan. Sehelai kain sutera berwarna ungu yang cantik. Pun bagiku ia tidak bernilai apa-apa. Suamiku menggesanya cepat membersihkan diri supaya dapat solat Maghrib berjemaah bersama. Tapi, Nur Amana, memberi alasan letih dan meminta aku dan suami solat dahulu. Bila
azan Isyak berkumandang, sekali lagi suamiku mengetuk pintu kamarnya mengajak Nur Amana solat bersama. Dan sekali lagi juga Nur Amana menolak dengan alasan dia sedang menyiapkan kertas kerja penting. Satu alasan yang tidak pernah dilakukan olehnya. Nur Amana yang kudidik tidak pernah melengahkan waktu solat. Tidak pernah mengutamakan kerja lain dari solat. Tapi, mengapa hari ini begitu? Mataku dan suami bertentangan. Pun kami cuma membisu. Bersabar dan menunaikan solat Isyak terlebih dahulu.

Selepas solat kulihat Nur Amana ke dapur, mengisi perut yang berkeroncong. Tadi, kupanggil dia makan bersama tapi beralasan letih. Kecewanya hatiku dan suami. Selepas makan, Nur Amana menolak pintu bilik lagi, tapi cepat suamiku memanggil. Nur Amana duduk dihadapanku. Dia kelihatan bersahaja. Gadis yang baru mencecah 24 tahun itu kulihat semakin manis. Wajahnya lembut. Matanya redup. Bibir merah jambunya yang cantik sering mengukir senyuman. Soalan pertama diajukan oleh suamiku.

Nur Amana tersentak. Dia menafikan sekeras-kerasnya. Katanya itu cuma fitnah orang yang benci melihat kejayaannya. Hatiku lega. Nur Amana, anakku masih memelihara agamanya. Sebulan kemudian, aku dihubungi lagi. Permohonan Nur Amana untuk menukar agama telah diluluskan. Sekarang Nur Amana berada di Kota Kinabalu, menghadiri persidangan penganut agama Kristian sedunia. Darahku berderau. Sikap Nur Amana yang mencurigakan akhir-akhir ini turut menipiskan kepercayaan aku dan suami padanya. Aku tidak mampu bertahan lagi. Suamiku juga begitu. Ketiadaan Nur Amana (out-station ke Singapura lagi) memberi peluang kepada kami untuk memecah biliknya. Kamar sederhana besar itu tersusun kemas. Sekuntum mawar yang entah siapa pemberinya telah kering di atas meja. Dari kad kecil yang terlekat cuma tertulis tahniah dan tersusun buku-buku tebal di atas rak. Aku menghampirinya. Dan jantungku berdegup kencang bila hampir semua buku-buku tebal itu adalah berkenaan agama Kristian, termasuklah sebuah Bible dan terjemahannya. Aku menggeletar. Terasa lemah seluruh anggotaku. Suamiku segera menghubungi mahkamah meminta kepastian. Dan jawapan yang diberikan begitu menyakitkan. Air mataku turun tanpa henti. Apa salah didikanku, lalu dia jadi begitu? Subhanallah!

Nur Amana pulang. Terkejut bukan main Nur Amana bila mendapati pintu biliknya telah dipecahkan. Suamiku menghujaninya dengan pertanyaan demi pertanyaan. Nur Amana membisu membiarkan kemelut terus berpanjangan.Namun akhirnya, penjelasan dilafazkan jua. "Saya mencintai Adam... pemuda Kristian, saya benar-benar cinta padanya dan terperangkap dalam agama itu...," dan sepantas kilat sebuah tamparan hinggap ke pipinya. Kemarahan suamiku sampai ke puncak. Kesabaran terus terhapus. Nur Amana menangis. Aku terkaku. Sesungguhnya hakikat ini terlalu pahit.

Paginya Nur Amana hilang dari rumah. Kamarnya kosong. Nur Amana membawa bersama segala pakaian dan buku-buku. Nur Amana bagai mengatakan bahawa "cuma setakat ini saja hubungan kita". Nur Amana seolah-olah memutuskan bahawa aku bukan ibunya lagi, suamiku bukan bapanya lagi. Air mataku mengalir dan terus mengalir. Hiba hati seorang ibu.

Suamiku bertindak pantas melaporkan kepada polis. Nur Amana lari dari rumah! Pun polis tidak menemuinya. Suamiku membuat permohonan membantah pertukaran agama yang dibuat oleh Nur Amana. Tiada pilihan lain, akhbar terpaksa digunakan meminta Nur Amana hadir ke mahkamah. Lalu, cerita Nur Amana menjadi hangat. Saban hari kisahnya terpampang di akhbar dan kaca televisyen. Latar belakangnya dicungkil. Kemudian peribadi Nur Amana dikritik. Pendidikan ibu bapa dan sekolah dijadikan alasan. Dan akhirnya, ramai yang menyimpulkan, Nur Amana gadis terpuji tersungkur ke perangkap Kristian kerana cinta! Alangkah dangkalnya iman Nur Amana. Alangkah!

Pada hari perbicaraan, Nur Amana hadir bersama seorang lelaki muda berdarah India. Nur Amana tidak bertudung litup lagi. Rambutnya dibiarkan mengurai ke
bahu. Rambut yang sebelum ini tidak pernah dilihat oleh mata lelaki ajnabi. Dan, terasa gugur jantungku bila terlihat sebentuk salib dibuat dari emas tulin bercahaya ditimpa cahaya lampu megah tersemat di dadanya. Nur Amana tunduk. Langsung tidak memandang kepada sesiapa. Wajahnya tenang. Perbicaraan
dijalankan. Detik demi detik berlalu. Keputusan diumumkan. Suamiku gagal!

Undang-undang negara memberi kebebasan beragama kepada rakyatnya. Dan kami tidak berhak menghalang kerana Nur Amana telah berumur lebih daripada 18 tahun. Lelaki muda di sebelah Nur Amana ku lihat tersenyum lega. Hatiku hancur. Di mataku terbayang hukum Allah. Orang murtad akan dikenakan hudud! Dipancung setelah enggan setelah disuruh bertaubat. Nur Amana bukan tidak tahu
itu. Bukan Nur Amana tidak tahu. Tapi, mengapa dia terus berdegil, tidak insaf dengan dosa itu?. Aku rebah dalam pelukan suamiku. Tubuhku merasa tidak bermaya. Dia tunduk. Wajahnya merah padam menahan kemarahan. Jemariku digenggam erat. Air matanya mengalir perlahan membasahi pipi. Menitis jatuh ke
pipiku. Itulah kali pertama kulihat air matanya gugur. Aku tahu hatinya. Dan cuma aku yang tahu hatinya. "Demi Allah! Aku bersumpah negara ini tidak akan aman kerana memegang undang-undang kafir!". Tiba-tiba suaranya lantang menjerit, meggegarkan suasana mahkamah yang telah sediakala hingar apabila mendengar keputusan mahkamah tadi. Mahkamah sunyi seketika. Semua mata tertumpu padanya. Tiba-tiba jeritan itu disambut dengan laungan "Allahu Akbar" dari orang yang tidak puas hati dengan keputusan mahkamah. Aku cuba meredakan kemarahannya. Namun air matanya semakin lebat. "Mahkamah ini tidak adil! Sekular! Undang-undang penjajah!'.

Keadaan semakin gawat apabila polis menangkap suamiku. Suamiku meronta-ronta, tapi pegangan kejap beberapa orang anggota polis melemahkan kudratnya. Dan akhirnya dia mengalah, membiarkan tangannya digari. Ketika melintasi Nur Amana yang terus tenang berdiri di sebelah lelaki muda yang tidak kukenali itu,
suamiku menoleh. "Kalau jalan ini yang kau pilih, teruskanlah... tapi ingat, kehidupanmu pasti tidak akan selamat!," Nur Amana tidak menjawab. Tunduk. Kaku bagai patung. Pun kulihat sekilas senyuman di bibir lelaki muda di sebelahnya. Hatiku tercalar. Keranamu Nur Amana, seorang ayah akan hilang seluruh kebahagiaan hidupnya.

Dan hari ini, suamiku merengkuk dalam penjara. Dituduh menderhaka kepada mahkamah! Dan ditakuti akan mencetuskan huru-hara kerana menerbitkan sentimen perkauman juga keagamaan.

Aku terjaga ketika jam dinding di ruang tamu berdenting tiga kali. Aku belum solat Isyak. Astagfirullah. Dari tadi aku tertidur dan menyambung mimpi ngeri semalam. Aku segera membaharui wuduk. Solat Isyak kudirikan. Kemudian kususuli dengan solat Taubat dan Hajat. Air mataku gugur lagi pada dinihari yang sepi. Doaku tidak putus. Hatiku retak. Namun jauh di sudut hati. Aku terus berharap... pulanglah anakku, Nur Amana!.

Aduhai, kisah natrah berulang kembali...agama dipermainkan oleh undang-undang sekular. Lihatlah betapa rapuhnya undang-undang sehingga tidak dapat
mempertahankan agama ISLAM yang dikatakan agama RASMI. Sampai bila perkara ini akan berakhir.....betapa hibanya hati seorang ibu bila anaknya murtad dan kita tahu hukumnya dan kita tahu masih banyak lagi kes yang sama seperti nur amana. apakah tindakan kita yang mengaku dirinya ISLAM, apakah tidak tercabar oleh permainan pihak kuffar ini???? permainan ini semakin bermaharajalela ditanah air kita....sedarlah..... Kita akan tertindas selagi HUKUM ALLAH TIDAK DITEGAKKAN DI BUMI.......MALAYSIA khasnya....

NOSTALGIA