12 Mei, 2009

.

HUBUNGAN AKHLAK DENGAN IBADAH


Melalui akhlak dan peribadi Rasulullah serta para sahabat, secara keseluruhannya membuktikan nabi memiliki sifat-sifat terpuji seperti sabar, tawaduk, zuhud, berilmu pengetahuan yang luas, amanah, kuat ibadah, tidak lemah dan berputus asa, hebat serta digeruni oleh musuh-musuhnya. Akhlak nabi terbentuk semenjak beliau masih kecil lagi, baginda yang lahir dari keturunan yang baik telah dipelihara Allah paribadinya. Sekalipun baginda banyak menghabiskan sebahagian dari kehidupan bersama bapa saudaranya, namun hal itu juga telah mendidik dan mengajar  baginda  untuk menjadi tabah dan sabar serta bersifat tidak mahu membebankan kehidupan bapa saudaranya, Abū Talib yang bekerja sebagai peniaga. Ketika berumur 12 tahun, Rasulullah telah mula menyertai bapa saudaranya berdagang. Ketika pulang beginda juga mengambil upah sebagai pengembala kambing yang mana dengan hasil gaji yang diperolehinya, sedikit-sebanyak dapat menampung kehidupan remajanya. Kesabarannya dalam perjuangan ketika berhadapan dengan kaum musyrikin daripada golongan saudara-maranya sendiri, telah banyak membentuk beliau menjadi insan yang berani dan tegas. Nabi s.a.w juga memiliki sifat ikhlas yang paling tinggi sehingga baginda telah menzahirkan sifat kemurahan hatinya terhadap sesiapa sahaja. Baginda sering menjamu golongan fakir miskin terutama sekali ahli sufah yang mendiami di sekitar masjid.

 

Nabi Muhammad adalah orang yang paling terpuji memiliki akhlak yang mulia. Maka kepada siapa lagi umatnya harus mengambil contoh selain baginda. Allah tacala juga merakamkan pujian kepada  nabi s.a.w di dalam al-Quran:

 

                                                       

Maksudnya:

“Dan sesungguhnya engkau benar-benar berbudi pekerti yang agung” (Al-Qur’an, al-Qalam 68:4)

 

Ibn Qudamah menyebut akhlak yang baik lahir dari hati yang dilatih dengan kebaikan, orang yang ingin bersifat dermawan dan murah hati, maka dia harus memaksa dirinya untuk berkorban agar dia terbiasa dengan sifat itu. Maka orang yang ingin memiliki sifat tawaduc, dia harus memaksa dirinya bersifat tawaduc. Latihan seperti ini tidak akan berhasil sekiranya dilakukan hanya dalam masa sehari atau dua hari tetapi ianya memerlukan latihan yang berterusan hingga membuahkan hasil dan pengaruh yang besar ke dalam diri  

 

Selain dari itu, akhlak- akhlak yang baik juga adalah sifat para nabi dan siddīqīn sedang akhlak-akhlak yang buruk merupakan racun yang mematikan serta menghala pelakunya ke jalan syaitan. Seringkali penggunaan akhlak yang baik disertai dengan penciptaannya seperti kata orang :

 

 “Fulan itu baik penciptaannya dan bagus pula akhlaknya”.

 

Apa yang dimaksudkan dengan penciptaan adalah rupa paras yang zahir, sedang akhlak pula rupa batinnya, kerana sememangnya manusia terangkai dari jiwa dan raga. Raga atau jasad dapat dilihat melalui mata, sedang jiwa boleh mengetahui dengan basirah (mata hati). Akhlak merupakan tanda kesihatan jiwa. Sesiapa yang kesulitan mengukur dirinya, maka hendaklah dia membandingkan dirinya dengan ayat-ayat ini kerana kewujudan sifat-sifat ini, membuktikan  seseorang itu mempunyai akhlak yang baik (Ibn Qudāmah 2000: 194-197). Akhlak yang baik adalah daripada sifat-sifat orang mukmin, sehubungan dengan itu Allah berfirman,

 

           

 

Firman Allah yang bermaksud:

 

“ Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah, gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka keranaNya dan kepada tuhan mereka bertawakkal. Iaitu orang-orang yang mendirikan solat dan yang menafkahkan sebahagian dari rezeki yang kami berikan kepada mereka. Itulah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan memperoleh beberapa darjat ketinggian di sisi tuhanNya dan ampunan serta rezeki nikmat yang mulia”(Al-Qur’an; Al-Anfāl 8:4                     

 

 

Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman iaitu orang-orang yang khusyuk dalam solatnya, dan orang-orang yang menjauhkan diri dari perbuatan perkataan yang tiada berguna, dan orang-orang yang menunaikan zakat, dan orang-orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela. Barangsiapa mencari selainya, maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas. Dan orang-orang yang memlihara amanah-amanah yang dipikulnya dan janjinya, dan orang-orang yang memlihara solatnya. Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi syurga firdaus, mereka kekal di dalamnya” (al-Quran; al-Mukminūn 23:1-11).

           

Dan hamba-hamba yang baik dari tuhan yang maha Penyayang itu ialah orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, maka mereka mengucapkan kata-kata yang mengundang selamat (al-Qur’an, Al-Furqān 25: 63).

 

Menurut  pandangan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan mengamalkan akhlak mulia akan menjadikan seseorang mukmin itu benar-benar sempurna keimanannya kepada Allah justeru akhlak juga sebahagian dari syariat yang dapat  membentuk peribadi yang mulia. Manusia tidak boleh dipisahkan daripada pergaulan dengan masyarakat, oleh itu tingkah laku atau budi pekerti merupakan satu di antara asas pembentukan tamadun manusia yang dapat membezakan antara kehidupan manusia yang berakal dan haiwan yang hanya berpandu kepada nafsu. Akhlak yang mulia merupakan bukti kepada kehidupan manusia yang berpegang kepada akidah tauhid dan juga syariat yang diajar oleh nabi s.a.w (Nik cAbd al-cAzīz Nik Mat 2007:137). Bertepatan sebagai pembawa rahmat bagi seluruh alam, Rasulullah diutuskan untuk umat manusia dan jin, baginda sentiasa mencerminkan akhlak mulia dan tawaduk dalam kehidupan harian. Sekalipun dalam menyempurnakan rutin harian di rumah, baginda sentiasa menyempurnakan keperluaan harian seperti memerah susu kambing untuk diminum, menjahit pakaiannya yang terkoyak dan menampal kasut. Ketika dalam peperangan Ahzāb, baginda s.a.w sendiri yang memindahkan longgokkan tanah. Baginda juga akan memenuhi undangan dan jemputan, tidak kiralah undangan tersebut dari orang-orang miskin mahupun kaya atau hamba sahaya dan juga menghadiri persiapan jenazah sebelum dikebumikan, menunggang kaldai dan menziarahi orang sakit sekalipun orang Yahudi  (Mahfuz dan Abd al-Muidz 2006:385) . 

  

 

Menurut pandangan tokoh ulama Baghdad iaitu Ibn al-Jawzī menyatakan akhlak sesuatu perkara mempunyai hubungan dengan setiap amalan dan ibadah seseorang. Sama ada ibadah itu bermula pada awalnya dengan taharah, solat, puasa dan haji.Beliau juga turut berpendapat bahawa sebaik-baik ibadah itu ialah memohon perlindungan kepada Allah daripada gangguan dan tipu daya syaitan sebelum memulakan sebarang ibadah yang lain kerana setiap ibadah yang ingin dilakukan oleh setiap hamba hanyalah kepada Allah, dan Allah juga menyeru setiap hambanya agar berlindung daripada musuh mereka iaitu syaitan (Ahmad al-Thāhir 2004: 11-12). Dalam membincangkan tentang akhlak Rasulullah, Ibn al-Jawzī menerangkan tentang sifat-sifat ibadah nabi s.a.w yang mana ibadah-ibadah itu sebenarnya mengandungi hikmah dan akhlak yang tersendiri seperti solat, taharah, haji, puasa dan sebagainya.

 

i)          Bagi pandangan beliau, solat bukanlah satu amalan yang hanya  dikerjakan dengan menggunakan anggota badan semata-mata, namun padanya tersirat rahsia yang tersendiri serta pengertian akhlak. Ianya juga satu ibadah yang akan melahirkan rasa takut dan kerdil di hati seseorang hamba, padanya juga ditertibkan rukun dan syarat tertentu yang wajib diikuti oleh seseorang muslim sebelum mengerjakannya seperti kelaziman menutup aurat, mengadap kiblat, mengosongkan hati dan jiwa dari perkara-perkara dunia serta mengqasadkan niat  untuk beribadah hanyalah kepada Allah. Takbir al-Ihrām yang dilakukan pada permulaan solat adalah sebagai tanda keazaman insan yang menyerah diri kepada Allah di samping meninggalkan segala laranganNya.Takbir juga membuktikan bahawa tiada sasuatu perkara pun yang lebih besar selain kebesaran Allah. Ibadah solat juga mendidik seseorang hamba supaya sentiasa mencari rezeki yang halal justeru ibadah seseorang tidak akan diterima Allah sekiranya darah daginganya bersumberkan daripada rezeki yang haram. Amalan solat dari segi rukun dan pengertiaannya juga dapat mendidik rohani seseorang supaya dirinya sentiasa beriltizam dengan cara hidup Islam yang sempurna serta bebas daripada perkara yang haram seperti rasuah,riba,judi dan hal ini juga bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud:

                                 

Sesungguhnya solat itu mencegah perbuatan keji dan mungkar (Al-Qur’an; Al-Ankabūt 29: 45)

 

Ibadah solat yang dilakukan adalah untuk membuktikan sifat kehambaan justeru ibadah ini juga dilaksanakan bersama penyertaan hati dan gerakan anggota badan yang rukuk dan sujud merendah diri kepada Allah . Selain solat yang wajib, setiap mukmin juga sigalakkan  memelihara solat-solat sunat yang sememamangnya dinyatakan oleh nabi mengikut hadith yang sahih seperti, solat sunat rawātib, solat sunat duhā, solat sunat tasbīh, solat istikhārahdan sunat tahajjud kerana padanya kelebihan yang tinggi bagi mereka yang melaksanakannya.

 

ii)         Puasa adalah suatu ibadah yang memberikan faedah dan kesan yang besar kepada akhlak muslim dan padanya juga hikmah yang tersendiri sepertimana dinyatakan oleh Allah s.w.t. iaitu ketakwaan yang mampu menyucikan nafsu dan membersihkan diri daripada perkara-perkara yang menimbulkan dosa. Maksud dari Firman Allah

  

Hai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kemu agar kamu bertakwa (Al-Quran; Al-Baqarah 1: 183)  .

 

Menurut Ibn Kathir, tafsiran  ayat ini merupakan suruhan Allah kepada orang-orang beriman daripada umat Muhammad supaya melaksanakan tuntutan puasa dengan menahan diri daripada makan dan minum dengan niat yang ikhlas kerana Allah kerana dengan ibadah ini ianya akan membersihkan diri dan nafsu daripada  perbuatan buruk justeru puasa juga adalah prisai yang mampu menjadi benteng kekuatan rohani dan jasmani serta mampu menyempitkan perancangan syaitan dalam menyesatkan orang-orang yang beriman. Ada Ulama yang menyatakan terdapat beberapa adab yang perlu diikut oleh setiap orang yang berpuasa seperti menjaga anggota badan yang zahir dan memelihara batin daripada terjerumus kepada apa yang dilarang ketika berpuasa. Ibadah puasa di bulan Ramadhan juga mestilah dihiasi dengan taubat yang sebenar dan ibadah ini juga tidak akan sempurna tanpa niat pada setiap malam.

 

Di antara adab berpuasa juga setiap orang mestilah melazimkan diri daripada bercakap tentang perkara yang tidak baik seperti mengumpat kerana orang yang berpuasa bukanlah  di kalangan orang yang memakan daging saudaranya sendiri. Amalan puasa juga tidak akan lengkap tanpa memelihara pandangan mata daripada melihat apa yang haram dan  juga mengawasi  penglihatan daripada mengulangi melihat kepada apa yang halal hingga menimbulkan rasa syahwat. Ramadhan juga adalah medan  tarbiyah yang mesti diteruskan sekalipun seseorang muslim itu berada di luar bulan Ramadhan seperti menghindari diri  daripada melakukan perkara yang haram juga adalah  wajib bagi setiap muslim. Imam al-Ghazalī  telah membahagikan puasa itu kepada tiga tahap, i) Saum al-cUmūm iaitu ibadah puasa yang dilakukan dengan menahan perut dan nafsu syahwat. ii) Saum al-Khusūs iaitu puasa yang dilakukan dalam keadaan memelihara pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh pancaindera daripada melakukan maksiat. iii) Saumkhusus al-Khusūs ialah puasa yang menahan keinginan hati dan akal fikiran kepada  kecintaan  kepada dunia semata-mata. Di antara ketiga-tiga tahap atau tingkatan puasa ini, menurut al-Ghazalī apa  Saum al-Khusūs adalah tingkatan puasa yang paling tinggi,kerana ianya adalah ibadah puasa yang dilakukan oleh kebanyakkan para solihin. Dakam menunaikan kewajinpan puasa di bulan Ramadhan,umat Islam juga dianjurkan agar

melaksanakan puasa sunat sepertimana yang dilakukan oleh nabi s.a.w. Sifat puasa nabi yang mana baginda berpuasa pada hari-hari tertentu seperti puasa sunat Isnin dan Khamis, puasa dibulan Syacbān,puasa pada Sembilan zulhijjah dan puasa tiga hari dalam sebulan. Selain kita juga digalakkan mengamalkan sifat dan cara berbuka Rasulullah yang mana ketika berbuka baginda akan mendahului memakan memakan kurma dan meminum air. Di sepuluh malam Ramadhan yang terakhir pula nabi s.a.w akan  bersungguh-sungguh  beribadah, dan beriktikaf di masjid agar baginda tidak terlepas dari ganjaran pahala satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. 

 

iii)        Ibadah haji di antara rukun Islam yang terakhir, ianya juga mengandungi pengertian akhlak dan mujāhadah. Orang yang mengerjakan haji akan pulang ke kampung halaman mereka  dalam keadaan bersih dari kotoran dosa selepas menjalani rehlah yang mencabar dengan berbekalkan mujahadah al-Nafs dan harta benda yang dimiliki. Ketika mengerjakan ibadah haji, setiap mukmin diseru agar menjaga adab dan pantang larang tertentu seperti larangan melakukan jimak dan perkara-perkara maksiat yang dilarang di dalam agama.Firman Allah yang bermaksud:

 

  Musim haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi, barangsiapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka tidak boleh rafats, berbuat fasik dan berbantah bantahan di dalam masa mengerjakan haji. Dan apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, niscaya Allah mengetahuinya. Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku hai orang-orang yang berakal

(Al-Quran; Al-Baqarah 2:197) .

 

Di antara pengajaran dan akhlak yang terdapat dalam ibadah ini, menurut ialah setiap orang yang ingin mengerjakan haji hendaklah memahami bahawa ibadah ini hanya dikhususkan kepada Allah dan ianya juga menuntut pengorbanan ketika melaksanakannya seperti berpisah daripada ahli keluarga. Selain daripada itu ibadah haji juga adalah satu  simbolik situasi dan keadaan hari Kiamat. Manakala pakaian Ihram  melambangkan pakaian setiap insan ketika saat waktu dikafankan. Ibadah ini menyimpan pelbagai kelebihan dari segi akhlak. Melalui rehlah ke Baitu Allāh menunjukkan bahawa amalan seseorang hamba tidak akan sampai kepada Allāh sehinggalah dia membersihkan rohani dan jasmaninya daripada keinginan nafsu.Apa yang dimaksudkan dengan nafsu di sini ialah,ibadah haji menuntut pengorbanan terhadap umat Islam agar meninggalkan kampong halaman, mengorbankan harta di jalan Allah dari segi pengankutan dan penginapan, selain dari itu orang-orang yang mengerjakan haji juga, terpaksa meninggalkan harta mereka berupa kebun dan lading yang sentiasa menjanjikan kekayaan dan nikmat dunia demi untuk menunaikan panggilan Allah di Baitullah. Selain dari itu, seseorang wanita juga perlu memelihara adab ketika mengerjakan ibadah haji, mereka  hendaklah menjaga adab-adab bermusafir. Selain dari itu wanita juga tidak dibenarkan mengangkat suara yang tinggi ketika bertalbiyah  kecuali sekadar didengari oleh orang yang berada disebelahnya sahaja dan mereka juga tidak dibenarkan memakai wangi-wangian. Setiap muslimah juga perlu memelihara semua adab-adab ini kerana ibadah haji itu ibarat jihad bagi seorang wanita.

 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NOSTALGIA