26 Disember, 2010

TIGA FORMULA HINDARI GANGGUAN MENTAL...


Dr 'Aidh Al Qarni selalu mengkaji dan meneliti berbagai buku mengenai 'cemas' dan gangguan mental. Beliau merujuk hasil tulisan ulama terdahulu dari kalangan ulama hadis, sasterawan, para pendidik, pakar sejarah dan juga lain-lain.

Semua mereka bersepakat bahawa ada tiga perkara pokok yang mesti ditempohi bagi orang yang ingin sembuh dan terhindar dari gangguan mental sekaligus hati menjadi lapang.

1) Sentiasa menggantungkan hati kpd Allah, menyembah, taat dan berserah diri kepada-Nya. Ini merupakan masalah keimanan yang amat penting.

2) Menutup fail-fail masa lalu dengan semua kepedihan dan air matanya, kesedihan dan bencananya, dan kesusahan dan keresahannya. Lalu memulai satu hidup baru dengan hari yang baru pula.

3) Membiarkan masa depan yang masih ghaib tidak menganggu dan melarutkan diri di dalamnya. Juga jauhkan diri dari segala bentuk ramalan yang tidak berasas. Tetapi berusahalah untuk hidup dalam lingkup hari ini sahaja.

Jangan percaya kepada segala bentuk desas-desus dan khabar angin, sebab Allah sudah berfirman merujuk kepada sikap musuh-musuh-Nya;

"Mereka menyangka bahawa tiap-tiap teriakan yang kuat ditujukankepada mereka" (al-Munafiqun: 4).

Adaptasi dari buku 'Jangan bersedih' oleh Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni.

Sekian Wassalam.

13 November, 2010

Bulan Zulhijjah


Daripada Ibnu Abbas telah berkata : Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Tiada daripada hari-hari yang begitu lebih di sisi Allah dan tiada amalan padanya lebih disukai kepada Allah daripada hari-hari sepuluh ini (1 - 10 Zulhijjah). Maka perbanyakkanlah padanya daripada tahlil, takbir maka sesungguhnya ia merupakan hari-hari tahlil, bertakbir dan berzikir kepada Allah. Dan puasa sehari daripadanya menyamai puasa setahun dan beramal padanya digandakan 700 kali ganda. Hadis isnadnya hasan dikeluarkan oleh imam al-Baihaqi.

Disebut oleh imam Sayuti - Daripada Abi Qatadah al-Ansari bahawa Rasulullah S.A.W telah ditanya mengenai puasa hari Arafah (9 Zulhijjah)? maka jawab Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Dikaffarah(ampun dosa) setahun lalu dan setahun akan datang. (Sahih Muslim)

Dari Aisyah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda; "Tidak ada suatu hari dimana Allah Taala paling banyak membebaskan hambaNya dari Neraka selain dari hari Arafah (9 Zulhijjah)." (Sahih Muslim)

Dari Al-Barra, katanya; "Saya mendengar Nabi berkhutbah. Kata beliau: "Pekerjaan kita hari ini (10 Zulhijjah) ialah solat. Sesudah itu pulang dan menyembelih korban. Sesiapa yg berbuat demikian bererti telah menjalankan agama kita." (Sahih Muslim)

29 September, 2010

Sekitar Kem Peribadi Mulia 2010 (KARIM '10)

Bergambar kenangan urusetia bersama dengan peserta banin setelah keletihan 3 hari 2 malam
Peserta banat tidak ketinggalan menunjukkan persembahan dikir timuran Islam
Berehat seketika selepas melepasi beberapa check point dalam Explorace Mahabbah
Bacaan ma'thurat tinggalan Imam Hasan Al Bana menjadi resolusi utama untuk digarapkan oleh para peserta
Slot regangan pagi bagi menyihatkan tubuh untuk meneruskan aktiviti selanjutnya

22 September, 2010

Pertandingan Mencipta Logo Alumni


Lajnah Penerangan dan Informasi dengan sukacitanya menganjurkan pertandingan mencipta logo Alumni Pelajar Madrasah Ad Diniah Al Islamiah (AHMADI).

Syarat-syarat penyertaan
1) Penyertaan terbuka kepada semua ahli AHMADI.
2) Peserta bebas menghantarkan sebanyak mungkin hasil rekaan logo.
3) Setiap rekaan mestilah hasil idea sendiri dan tidak dibenarkan meniru mana-mana logo yang telah dihasilkan sebelum daripada ini.
4) Pihak penganjur berhak menolak mana-mana penyertaan yang didapati menyalahi syarat penyertaan.
6) Setiap penyertaan mestilah disertakan dengan interpritasi logo yang dihasilkan.
7) Penyertaan dibuka bermula sekarang sehingga 15 November 2010.
8) Penyertaan bolehlah dihantar ke alamat alumni_madi@yahoo.comThis e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it beserta nama, alamat, pusat pengajian/pekerjaan, umur, dan nombor telefon.
9) Keputusan pengadil adalah muktamad. Sebarang surat menyurat tidak akan dilayan.
10) Hadiah menarik sedang menanti anda.

KAHWIN KERANA APA ?


Nabi saw bersabda:

"1. Sesiapa yang mengahwini wanita kerana kehebatan dunianya , Allah hanya menambah kehinaan padanya.

2. Sesiapa yang mengahwini wanita kerana hartanya, Allah hanya menambah kepapaan kepadanya.

3. Sesiapa yang mengahwini wanita kerana keturunannya, Allah hanya menambah kerendahan padanya.

4. Sesiapa yang mengahwini wanita hanya kerana untuk menjaga pandangannya, memelihar farajnya atau untuk menyambung silaturrahim, Allah akan memberkati lelaki tadi pada isterinya dan memberkati isterinya pada lelaki tersebut."

Hadis riwayat at-Thabrani

Oleh itu kita kena lihat booster pendorong kepada perkahwinan kita. Ini sangat penting terutama lelaki yang akan mengetuai keluarga. Ini bagi memastikan perkahwinan kita diterima disisi Allah swt.

JADILAH LELAKI YANG TERBAIK

Lelaki perlu lebih bersdia untuk bahtera perkahwinan lebih dari wanita. Lelaki perlu melayan sebaiknya kepada isteri seprti Rasulullah saw melayan para isterinya. Nabi saw bersabda:

" Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik adalah orang paling baik kepada isterinya, akulah orang yang paling baik kepada isterinya."

Hadis riwayat Ibnu Majah dan al-Hakim

JANGAN JADI DAYUS

Jangan pula salah anggap bahawa lelaki yang baik ini lelaki yang mengikut semua kemahuan isteri sehingga membuat perkara yang dilarang. Begitu juga sanggup mempertahankan rumah tangga walaupun pasangan tersebut menyebabkan runtuhnya iman dan akhlaknya. Nabi saw bersabda:

" 3 golongan yang tidak masuk syurga 1. Penderhaka ibu bapa 2. lelaki yang dayus 3. wanita yang menyerupai wanita."

Hadis yang baik sanadnya seprti dinyatakan oleh pengarang kitab " safwatul ahkam."

Lelaki perlu mengajar perkara yang wajib kepada isterinya seperti ilmu akidah, solat, zakat, puasa, pernikahan, muamalat (jual beli Islam), pembersihan hati dan lain-lain. Kalau dia tidak mampu si lelaki wajib mengajak isterinya pergi kelas pengajian seumpama ini.

Bagi pendapat saya kelas muamalat jarang ada di malaysia kerana kuliah malam kebiasaannya adalah tajuk umum. Lebih kepada kelebihan dan dakwah. Ilmu yang lebih mendalam terutamanya muamalat adalah jarang diajar.

PASANGAN MUSUH

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّ مِنْ أَزْوَاجِكُمْ وَأَوْلَادِكُمْ عَدُوّاً لَّكُمْ فَاحْذَرُوهُمْ وَإِن تَعْفُوا وَتَصْفَحُوا وَتَغْفِرُوا فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Hai orang-orang mu'min, sesungguhnya di antara isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi serta mengampuni (mereka) maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Surah al-Munafiqun ayat 14

Menurut sebab penurunan ayat ini di dalam hadis2 yang sahih adalah kerana lelaki2 yang berada di mekah hendak belajar ilmu Islam dari Rasulullah di madinah. Namun pasangan mereka yang merayu dan menghalang untuk belajar ilmu Islam.

Kemudian turun ayat ini. Sepatutnya perkahwinan menyebabkan bertambah rajin untuk menuntut ilmu, berama ibadah dan berkerja untuk Islam tetapi yang terjadi sebaliknya berlaku. Pasangan yang berkahwin hendaklah pastikan ke3 perkara tadi bertambah selepas perkahwinan iatu ilmu , amal dan kerja Islam.

Inilah keredaan tuhan dalam perkahwinan. Hanya Salah satu dr tadi bertambah juga tidak memadai kerana 3 perkara ini adalah saling melengkapi. Setakat seronok , happy, bg makan, hubungan kelamin , rumah , perlindungan diri mdan lain2 binatang pun boleh bagi hehe. Oleh itu pilihla pasangan elok2 samada lelaki atau perempuan.

NABI YANG SPORTING KEPADA ISTERINYA

Kalau perkara yang tidak dilarang sisuami hendaklah cuba melayan dan memenuhi kehendak isterinya seperti mana baginda bersama isterinya. Ini beberapa peristiwa Nabi melayan isterinya:

1. Nabi berlumba lari dengan aisyah (hadis BUkhari)

2. Nabi memanggil penyanyi pada hari raya untuk aisyah mendengarnya (hadis sahih)

3. Nabi bagi peluang kepada aisyah untuk melihat permainan tombak oleh org2 habsyah. Masa tu aisyah berada dibelakang nabi dan pipinya rapat dengan pipi Nabi. (hadis sahih Bukhari)

4. Aisyah dan Saodah melawak dengan depan Nabi. Mereka saling ambil makanan dan letak di muka madunya.

MUNAJAT

YA ALLAH DIRI INI TIDAK LAYAK MENDAPAT JODOH LANTARAN DOSA,

TIDAK LAYAK UNTUK MENDAPAT JODOH YANG BAIK LANTARAN DOSA2,

TIDAK LAYAK MENDAPAT ZURIAT YANG BAIK LANTARAN DOSA2,

TIDAK LAYAK MASUK SYURGA MU LANTARAN DOSA2,

TETAPI DENGAN RAHMAT MU KAMI BERHARAP AGAR ENGKAU BERIKAN KAMI JODOH YANG BAIK , YANG MENGHIBUR KAMI , YANG TAAT PADA KAMI, YANG MENEGUR KESALAHAN KAMI DENGAN BAIK, MENDAPAT ZURIAT YANG BAIK DAN MASUK KE DALAM SYURGA MU DENGAN PASANGAN KAMI DI DUNIA.

YA ALLAH TERIMALAH KAMI ..

TERIMALA DIRI INI

TERIMALAH DIRI INI.

09 September, 2010

Erti Sebuah Kemenangan


Kita bersyukur kepada Allah kerana sudah berjaya meyempurnakan Ibadah puasa di bulan Ramadan, berjaya menghidup malam-malamnya dengan solat tarawikh, qiamullail, dan beri’tikaf sebagai persediaan hidup kita di alam barzakh dan alam akhirat.

Allah memfardukan amal-amal ibadah secara khsusus kepada kita sebagai syiar untuk kita membuktikan keimanan dan ketaatan kita kepada Allah dan juga bertujuan supaya umat Islam dapat membersihkan jiwa mereka daripada dosa-dosa dan mengangkat mereka ke darjat seorang yang bertakwa.

Namun kejayaan kita mendapat Syurga Allah di hari akhirat dan terlepas daripada azab neraka hanyalah kurnian Allah dan RahamtNya juga . Walau banyak mana sekalipun amal ibadah kita; kita tidak akan mampu terlepas daripada azab Allah dan mendapat kurnia syurganya pada hari akhirat tanpa kurnian Rahmat dan keampunanNya .

Sebab itulah Allah memerintahkan kita supaya mengabdikan diri kepadaNya dengan penuh keikhlasan dan sebagai tanda kesyukuran kita kepada nikmat-nikmat kurniaan Allah kepada kita yang tidak mampu dihitung.

Tugas dan tanggungjawab kita sebagai umat Islam ialah memahami amanah Allah yang telah kita terima dan melaksanakan segala amanah tersebut dengan penuh perihatin dan mengikut petunjuk rasulullah s.aw. Inilah intipati kepada sifat seorang yang takutkan Azab Allah atau sifat orang-orang yang bertaqwa yang akan mendapat Rahmat dan keampunan Allah pada hari akhirat.

Ada dua Amanah Allah kepada kita:

1. Mengabdikan diri kepadaNya dengan penuh keikhlasan atau Hablul minallah
2. Menjadi Pengganti Allah mengurus kepimpinan dan pentadbiran dunia ini kepada matlamat yang telah ditentukan Allah atau Hablul minannas atau melaksanakan amanah sebagai khalifah Allah.

Ada amanah Allah kepada kita berkaitan hubungan kita dengan Allah. Kita wajib mengenal Allah dengan mengenal nama-namaNya dan sifat-sifatNya. Kita wajib mengetahui hak-hak Allah ke atas kita. Kita wajib beriman kepada Allah dan segala perkhabaran yang disampaikan kepada kita melalui Rasulnya nabi s.a.w. di dalam al-Quran dan hadis-hadisnya.

Antara amanah Allah kepada kita ialah kita bertanggungjawab berusaha membersihkan diri dan jiwa kita daripada saki baki jahiliyyah dalam akidah dan akhlak-akhlak kita. Sehingga kita memiliki jiwa mutmainnah dan menjadi hamba Allah yang diredai dan di kasihi oleh Allah azza wajalla. Tanggungjawab ini juga diistilahkan oleh para ulama sebagai tuntutan fardu Ain.

Menyempurnakan keperibadian Islam dengan memiliki kefahaman Islam yang Syumul sebagaimana terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah, memiliki akhlak dan perilaku yang mantap dalam hubungan dengan Allah dan sesama manusia menjadi asas kepada kesempurnaan melaksanakan tugas sebagai khalifah Allah di dunia ini.

Khalifah adalah peganti. Allah telah melantik manusia untuk menggantiNya memakmurkan dunia ini dan memerintahnya mengikut acuan dan sistem yang ditentukan Allah dalam al-Quran. Oleh itu manusia perlu memiliki ciri-ciri seorang muslim yang Rabbani sebelum mereka mampu melaksanakan amanah Allah yang amat berat ini.

Tugas khalifah adalah tugas melaksanakan sistem politik atau pemerintahan berteraskan kehendak-kehendak Allah. Kita tidak akan mampu melaksanakan kehendak Allah untuk memberi manfaat kepada ummah sebelum kita sendiri melaksakan kehendak Allah ke atas diri kita sendiri. Bagaimana kita hendak membawa manusia kembali kepada Allah jika kita sendiri jauh daripada Allah dan sentiasa mengabaikan segala suruhanNya.

Allah yang mengetahui misiNya telah mendidik rasulullah s.a.w. dan membimbing gerakan dakwahnya bagi mengubah manusia sehingga generasi sahabat bersama-sama baginda menjadi generasi al-Quran yang unggul bukan sahaja berjaya mengislamkan seluruh Jazirah Arab malah Islam berkembang sehingga hidayahnya memayungi 2/3 dunia.

Realiti kita.

Kini Jahiliyyah kembali menguasai dunia; menguasai sistem pemerintahan dan jentera penggerak yang menggerakkan pemerintahan dunia. Jahiliyyah menguasai sistem perundangan, sistem kehakiman, sistem pendidikan yang menjadikan dunia dan kebendaan sebagai asas pendidikan dan mengetepikan menjadikan generasi Rabbani sebagai matlamatnya, sistem kebudayaan dan kesenian yang menjadikan nafsu dan keseronokan sebagai tujuan dan sistem pentadbiran urusan agama yang menyempitkan amalan agama kepada rutin-rutin ibadah yang memisahkan identiti muslim daripada individu soleh yang bermanfaat kepada muslim yang lain menjadikan muslim yang hidup hanya mementingkan diri sendiri dan meletakkan keutamaan kepada diri sendiri dan keluarganya sebelum kepada saudaranya yang lain.

Kita lihat ramai umat Islam dibandar dan taman-taman perumahan. berduyun-duyun menunaikan solat sunat tarawikh tetapi mereka tidak mengenali siapakah Imam yang mengimamkan solat mereka, tidak mengenali siapakah saudara muslim yang berada di kiri dan kanan mereka.

Bertaaruf, bersilaturrahim, bertolong-menolong dan amar makruf nahi munkar bukan lagi budaya masyarakat hari ini melainkan mereka yang menyertai gerakan Islam. Semua keadaan ini adalah hasil sistem hidup yang kita warisi daripada zaman penjajah yang bukan budaya Islam yang diwarisi sejak zaman nabi s.a.w.

Selagi umat Islam masih tebal dengan budaya materialistik dan mengutamakan diri sendiri sistem jahiliyyah akan mudah menghasut dan menguasai mereka dan memecahkan kesatuan persaudaraan sesama umat Islam. Tanpa kekuatan ukhuwwah dan kasih sayang sesama umat Islam umat Islam hilang kekuatan mereka yang digeruni oleh musuh-musuh mereka.

Islam bukan sekadar bergembira menyambut hari raya aidil fitri dengan beranika warna baju raya, kuih-muih, berhibur didepan kaca television.

Erti `Aidil Fitri.

`Aidil Fitri amat beerti kepada mereka yang terlibat dalam perjuangan untuk mengembalikan kedudukan Islam ditempatnya yang sebenar. Ketakwaan yang diraih hasil menikmati hidangan al-Rahman di musim Ramadan akan menambahkan tajarrud mereka untuk agama Allah.

Mereka lebih mampu mengasingkan tuntutan emosi, sentimen dan naluri manusiawi jika bertembung dengan tuntutan Rabbani. Tuntutan Rabbani menjadi asas neraca keutamaannya daripada kepentingan pendapat sendiri, puak dan taksub membabi-buta. Sebaliknya sikap ehsan, izzah dengan Islam, memaafkan sesama muslimin dan meletakkan kemaslahatan ummah mendahului segala kepentingan lain.

Bagi seorang pejuang, solat, zakat, puasa, tilawah al-Quran, sedeqah, qiamullail, istighfar dan i’tikaf di bulan Ramdan hanyalah penyempurnaan kepada amal ibadah mereka di hari-hari lain. Ia hanyalah sebagai pencerna dan pembentukan keperibadian mereka bukan matlamat hidup mereka terakhir.

Menjadi syuhada’ dijalan Allah dan pengiktirafan Allah terhadap pengakuan tauhid mereka itulah setinggi-tinggi cita-cita mereka di dunia ini. Itulah kesempurnaan ikhlas, tajarrud dan amal soleh mereka untuk Allah azza wajalla.

Kalau tidak mereka hanya mendapat lapar dan dahaga berpuasa di zaman Islam menuntut pengorbanan mereka ini.

Menjadi pejuang untuk meletakkan Islam di atas mengatasi ism-ism lain adalah tuntutan ketakwaan masa kini, tanpanya kita belum memiliki sifat orang yang bertakwa. Salam `aidil fitri dan semoga Allah menerima amalan jihad kita.

01 September, 2010

Wahai para Pemuda, mari kita baca sat info pasal rokok ni...


Di Malaysia, merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kematian setahun; 30 peratus daripadanya disebabkan 10 jenis kanser, iaitu paru-paru, mulut, esofagus, tekak, pankreas, pundi kencing, buah pinggang, serviks, kolon dan perut, 50 peratus kematian berpunca daripada sakit jantung dan strok dengan pecahan 25 peratus masing-masing. HTML clipboardMenurut Dr Sallehudin, lebih 100,000 perokok dimasukkan ke hospital kerajaan di seluruh negara akibat sakit jantung, kanser dan penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD) dan lebih penting, negara mengalami kerugian kira-kira RM20 bilion setahun bagi menanggung kos rawatan dan kehilangan produktiviti.

Kesan Asap Rokok Kepada Si Perokok Dan Orang Disekeliling

Si perokok bukan sahaja perlu bertanggungjawab pada diri sendiri tetapi turut bertanggung jawab pada orang disekeliling akibat daripada bahaya asap rokok. Asap rokok yang dihidu oleh perokok atau mereka yang berada di sekelilingnya, akan memasuki rongga mulut dan hidung melalui kerongkong ke paru-paru. Kandungan asap rokok akan menyebabkan kerosakan tisu di sepanjang perjalanan di ruang ini. Ia boleh menyebabkan pelbagai penyakit di mulut, kerongkong, paru-paru dan barah. Asap akan melalui saluran pernafasan ke dalam paru-paru dan merosakkan saluran bronkus, menyebabkan bronkitis, penyakit di bahagian paru paru. Ia juga akan merosakkan pundi udara dalam paru-paru (alveoli) dan menyebabkan penyakit emfisima.

Asap rokok yang dihidu juga akan melalui saluran penghadaman dan pencernaan, yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit di bahagian esofagus, perut dan pankreas.

Racun dalam asap rokok yang larut air akan memasuki sistem saluran darah dan dibawa ke seluruh badan. Bahan nikotin, bukan saja memberi sifat ketagihan, malah menyebabkan saluran darah arteri menjadi sempit. Ia juga merosakkan dinding arteri dan akan memudaratkan organ berkaitan.

Kesan ini, dalam jangka panjang, akan menyebabkan simptom kebas pada kaki, jari, migrain, sakit kepala, pedih ulu hati, kekejangan otot kaki, serangan penyakit jantung dan sebagainya.

Racun rokok akhirnya disaring dalam buah pinggang dan dihapuskan dari badan melalui air kencing. Dalam proses ini pula, berlaku satu lagi keracunan hasil penguraian kimia asap rokok yang turut merosakkan buah pinggang. Racun dalam air kencing juga menyebabkan kerosakan pundi kencing.

Racun akibat merokok juga mempunyai kesan tindak balas terhadap ubat-ubatan. Secara umum diketahui merokok boleh menjejaskan fungsi beberapa kumpulan enzim di hati dan ada kalanya ia boleh memperhebatkan kesan sampingan sesuatu ubat itu.

Kesan Asap Rokok Terhadap Isteri Perokok Adalah :
- Melahirkan bayi yang kurang berat badan
- Melahirkan bayi yang tidak cukup bulan
- Lebih terdedah kepada kanser
- Mengurangkan kesuburan dan putus haid awal

Kesan Asap Rokok Terhadap Anak Perokok :
- Lebih mudah mendapat lelah
- Mendapat jangkitan paru-paru
- Pertumbuhan paru-paru kanak-kanak terganggu
- Mudah menjadi perokok apabila dewasa kelak

AKIBAT MEROKOK

Bagaimana merokok mendatangkan kesan ke atas tubuh badan anda?

Apakah kesan-kesan jangka pendek?

Apakah kesan-kesan jangka panjang?

Selain membahayakan kesihatan diri, apakah keburukan
merokok yang lain?

Bagaimana merokok mendatangkan kesan ke atas tubuh badan anda?

  • Mempunyai kedua-dua kesan jangka pendek dan jangka panjang
  • Bahan-bahan kimia yang dibebaskan daripada rokok boleh merosakkan beberapa organ dalam tubuh badan kita

Apakah kesan-kesan jangka pendek?


Otak


-


Pembebasan gas karbon monoksida dan pengurangan oksigen menyebabkan otak tidak dapat berfungsi dengan sepenuhnya

Telinga

-

Mengurangkan kadar pengaliran darah boleh menyebabkan pekak

Mata

-

Mata berair, radang mata yang boleh mengganggu daya penglihatan

Mulut

-

Mengalami deria rasa yang tidak sedap pada bibir,lidah dan tekak


-

Nafas berbau dan mendapat jangkitan mulut


-

Gigi menjadi kuning

Hidung

-

Mengurangkan deria bau

Kulit

-

Mengurangkan suhu badan, kulit muka cepat berkedut

Paru-paru

-

Kesukaran untuk bernafas dan mengurangkan tenaga untuk bersukan

Apakah kesan-kesan jangka panjang?Barah (cth. paru-paru, payudara, mulut, tekak, dan usus)

  • Penyakit Jantung
  • Angin Ahmar / Strok
  • Penyakit paru-paru (cth. Penyakit lelah, bronkitis)
  • Penyakit mulut dan gusi
  • Ulser (perut, peptic)
  • Osteoporosis
  • Kemandulan (tidak boleh hamil)
  • Kurang bernafsu dalam perhubungan seks
  • Mati pucuk
kredit kepada http://dupahang.wordpress.com

28 Ogos, 2010

Syaitan masih berkeliaran di bulan Ramadhan?


Dari Abi Hurairah, katanya, Nabi SAW bersabda, maksudnya: ‘Apabila masuknya malam pertama dari bulan Ramadhan, syaitan dan jin yang ganas dibelenggu. Pintu neraka ditutup, Tidak dibuka satupun darinya. Pintu syurga dibuka. Tidak satupun darinya ditutup. Ada satu seruan: ‘Wahai orang yang mencari kebaikan! Berhadaplah ke mari. Wahai orang yang mencari kejahatan! Henti hentilah (perkara jahat kamu itu). Bagi Allah itu ada hamba-hamba yang dimerdekakan. Demikian itu pada setiap malam.’ Riwayat at-Tirmizi

Ringkasan:

Imam Nawawi menyebut jin syaitan ini dibelenggu kerana menghalang mereka dari menyakiti orang mukmin dan menakut-nakutkan mereka. Belenggu itu boleh jadi hakiki (sebenar) atau majazi (simbolik).

Al-Qadhi Iyadh menyebut: Boleh jadi Allah membelenggukan syaitan itu dengan rantai dan belenggu dengan sebenarnya, bukan ia majazi atau secara simbolik sahaja. Tujuannya supaya mereka tidak menyakiti mukmin dan menakut-nakutkan mereka. Boleh jadi juga ia adalah simbolik. Allah jadikan mereka itu lemah dari menipu-daya mukmin dalam bulan puasa ini hingga jadi kuranglah tipu-dayanya. Maka jadilah mereka itu seolah-olah dibelenggu. Belenggu juga dengan makna mereka tidak dapat menipu sebahagian mukmin dan sebahagiannya dapat ditipunya. Sebahagian perkara dapat ditipu dan sebahagiannya tidak. Ini semua bermaksud membesarkan bulan Ramadhan itu.

Berkenaan pintu neraka ditutup dan pintu syurga dibuka, Imam Nawawi menyebut bahawa ia boleh jadi hakiki atau majazi juga. Ertinya apabila masuk bulan puasa itu, Allah buka jalan taat yang banyak kepada hambaNya, yang tidak ada di bulan selain Ramadhan seperti berpuasa, berjaga malam dan pelbagai kebajikan yang lain. Maka itulah yang menjadikan sebab masuk syurga dan seolah-olah itulah pintunya.

Berkenaan seruan itu pula, ia tidak didengari oleh manusia. Namun Allah tidak membiarkan begitu sahaja. Allah memberitahu Nabinya tentang seruan tersebut. Diwakilkan kepada Malaikat menyeru pada setiap malam puasa memanggil hamba-hambaNya untuk berbuat taat dan menjauhkan maksiat.

Allah memerdekakan hambaNya dari neraka dengan sebab ketaatan yang dibuat. Ada yang dimerdekakan dengan sebab mengesakan Allah. Ada yang dimerdekakan dengan sebab solat. Ada yang dimerdekakan dengan sebab puasa. Pemerdekaan dalam bulan puasa ialah dengan sebab pahala puasa dan berkatnya.

10 Ogos, 2010

Ramadhan; Ibadah vs Adat


Umat Islam seluruh negara telah melangkah masuk ke bulan Ramadhan yang penuh keberkatan. Rentetan daripada ketibaan Ramadhan, suasana baru yang tidak dapat dilihat pada bulan-bulan lain akan mengambil tempat.

Di antaranya menggambarkan ciri ibadah puasa yang sebenar serta tidak kurang juga puasa sebagai adat atau pesta tahunan.

Oleh itu, umat Islam perlu benar-benar memahami falsafah puasa yang selaras dengan Al Quran dan sunah serta mengelakkan daripada menjadikan puasa hanya sebagai adat tahunan sahaja.

Di antara ciri-ciri tingkah laku yang perlu dihindarkan kerana telah menjatuhkan martabat puasa kepada tahap adat semasa ialah:

* Menyempitkan skop puasa hanya dengan menahan makan dan minum pada siang hari sahaja. Sedang mata, hati dan lidah tidak ditahan daripada melakukan dosa. Rasulullah s.a.w bersabda: Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan buruk dan perbuatannya tatkala berpuasa, maka tiada hajat Allah baginya (kerana pahala akan terhapus) walaupun meninggalkan makanan dan minumannya. (riwayat Al-Bukhari)

* Berpuasa pada siang hari sahaja daripada melakukan dosa dan maksiat. Selepas berbuka segala kegiatan maksiat seperti mengumpat, merokok, mencaci, melakukan zina mata diteruskan seperti biasa.

* Berlebih menyediakan juadah berbuka puasa sehingga melakukan pembaziran. Allah berfirman, Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara kepada syaitan. (al-Isra':27)

* Berlebih makan ketika berbuka sehingga meletihkan badan dan menghalang daripada melakukan ibadah di malamnya. Sikap bersederhana Rasulullah s.a.w di dalam berbuka puasa perlu dicontohi sebagaimana maksud hadis: Rasulullah s.a.w berbuka dengan kurma basah (rutab) sebelum solat dan sekiranya tiada rutab, maka tamar dan jika tiada, baginda meminum beberapa teguk air. (riwayat Abu Daud, Ahmad & Al-Tirmidzi)

* Malas menghidupkan malam Ramadan dengan ibadah sunat seperti melakukan solat tarawih, solat malam dan sebagainya.

* Terdorong untuk bersolat tarawih hanya kerana sandaran kepada hadis palsu yang menyatakan kelebihan bersolat tarawih pada setiap malam. Untuk itu, pihak berkuasa agama perlu menghindarkan penyebaran hadis inidaripada berleluasa seperti tahun-tahun terdahulu.

* Mengabaikan ibadah malam bermula dengan solat berjemaah maghrib, isyak dan tarawih kerana sibuk menonton televisyen atau kerana urusan-urusan lain.

* Malas bekerja dan tidak produktif semasa berpuasa dengan alasan keletihan. Bayangkan bagaimana nabi s.a.w dan para sahabat berperang Badar dengan nisbah 300 melawan 1,000 orang.

* Malas membaca Al Quran atau hanya mengehadkan bacaanpada surah Yasin sahaja. Sedangkan baginda s.a.w senantiasa menyemak dan mengkhatamkan Al Quran sekali di dalam bulan Ramadan dengan Jibril a.s.

* Malas berdoa sedangkan doa orang yang puasa akan dimakbul oleh Allah berdasarkan sabda nabi s.a.w : Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu tatkala waktu berbukanya, adalah waktu doa yang tidak ditolak. (riwayat Ibn Majah).

* Mengabai serta meninggalkan peluang beribadat pada 10 malam terakhir Ramadhan kerana sibuk dengan persiapan menyambut hari raya.

* Tidak bersedih dengan berakhirnya bulan Ramadhan. Juga tidak bimbang sekiranya tidak dapat bertemu Ramadhan yang akan datang.

* Memiliki kepercayaan-kepercayaan karut tentang kepulangan roh orang yang telah mati pada bulan Ramadhan. Sedangkan kepercayaan tersebut adalah bertentangan dengan konsep roh dan alam barzakh (al-Mukminun: 99-100)

* Kepercayaan kepada perlunya menyalakan pelita pada malam 7 likur. Akibat kepercayaan ini Islam telah terfitnah dengan tohmahan pihak tertentu yang mengatakan malaikat orang Islam rabun malam. Oleh sebab itu, pelita perlu dinyalakan sebagai panduan kepada para malaikat yang turun membawa berkat. (Rujuk- http://youtube.com/watch?v=RgT-_Uf62rk)

* Tidak menunaikan sembahyang fardhu ketika berpuasa atau hanya bersolat pada bulan Ramadhan sahaja. Sabda nabi s.a.w : Beza di antar seorang Muslim dengan syirik serta kekufuran adalah meninggalkan solat. (riwayat Muslim). Menurut sebahagian ulama salaf, orang yang meninggalkan solat dengan sengaja dihukum kafir. Maka sudah pasti amalan puasa orang yang kafir tidak akan diterima oleh Allah.

* Memusnahkan pahala puasa sebulan dengan sambutan hari raya yang melampau sehingga melakukan maksiat.

Ini adalah di antara beberapa kesalahan yang biasa dilakukan oleh umat Islam semasa menjalankan ibadat puasa yang telah merendahkan martabat bulan Ramadhan. Oleh itu, kita perlu menghindarkan perkara-perkara tersebut demi menjamin pahala yang berganda di bulan ini.

Ini berdasarkan sabda baginda s.a.w yang bermaksud: Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh iman dan mengharapkan pahala, diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lepas. (riwayat al-Bukhari)

01 Ogos, 2010

Hilangnya Sebutir Permata Menjelang Ramadhan


Taman Jali, 1 Ogos 2010 - Seorang bekas tenaga pengajar MADI; Ustazah Nurhasni Djamhir Syamsuddin telah kembali ke pangkuan Ilahi pada jam 9.00 pagi tetapi pihak hospital mengesahkan bahawa Almarhumah telah tiada sejak subuh lagi akibat penyakit penat yang dihidapinya sejak beberapa ketika dulu.

Beliau mengikut jejak langkah suaminya; Almarhum Ustaz Ghufran yang telah kembali ke rahmatillah 2 tahun lepas meninggalkan 5 orang anak yang bongsunya berusia 10 tahun. Almarhumah merupakan guru yang berdedikasi dan berwibawa dalam mencurahkan ilmu kepada masyarakat terutamanya bekas pelajar MADI sekitar tahun 1998-2005.

Beliau yang yang berasal dari Indonesia
memiliki ijazah Pengajian Islam dari Kuliyyah At Tarbiyyah Lil Banat Arab Saudi pernah menyumbangkan ilmu di merata tempat sehingga sebelum menghembuskan nafas terakhir, beliau berkhidmat di IPTIPs.

Almarhumah selamat dikebumikan jam 6.00 petang tadi dengan kehadiran ratusan rakan-taulan, anak murid dan jiran-tetangga memberi penghormatan terakhir terhadap jenazah. Tidak ketinggalan guru, kakitangan dan sahabat Alumni MADI juga turut hadir dan mendoakan semoga roh beliau ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman dan soleh.

31 Julai, 2010

Musibah Terhadap Seseorang Boleh Mendidik


Setiap orang tidak ada jaminan untuk selamat daripada ujian Allah. Ujian itu didatangkan Allah mengikut tahap iman seseorang. Orang awam tentu ujian terhadapnya lebih ringan daripada ujian terhadap ulama. Oleh sebab itu ujian Allah tidak sama antara seseorang dengan seorang yang lain.

Jenis-Jenis Musibah dan Tujuan Allah datangkan kepada seseroang adalah:

Jenis

Bila boleh berlaku

Tujuan

Firman Allah

Bala’

Apabila orang yang jahat melakukan kejahatan.

Dihina di dunia sebelum dihina di akhirat.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah menghukum (firaun dan) kaumnya dengan (mendatangkan) musim kemarau yang panjang dan kekurangan buah-buahan, supaya mereka mengambil pelajaran.” (Surah al-Araf 7: 130)

Ibtila’

Apabila orang yang baik melakukan kebaikan.

Sebagai ujian dan meningkatkan darjatnya sebagai orang Mukmin.

Allah berfirman yang bermaksud: “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: ‘Kami telah beriman’, sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang yang dusta.” (Surah al-Ankabut 29: 2-3)

Kafarah

Apabila orang yang baik melakukan kejahatan.

Supaya mereka kembali kepada Allah iaitu bertaubat.

Allah berfirman yang bermaksud: “Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.” (Surah al-Anbiya’ 21: 35)

Umat Islam yang didatangkan musibah kadang-kadang putus asa dan tidak sanggup hidup menderita. Padahal kalau dia bersabar dan membuat perubahan, mereka dijamin syurga. Namun realiti umat Islam kini tidak begitu, mereka lebih sanggup mati awal sebelum diuji. Sedangkan Allah menegaskan seseorang yang diuji itu adalah untuk meningkatkan iman mereka.

Beruntunglah mereka yang melihat positif kepada ujian atau musibah yang menimpa terhadap dirinya kerana dengan ini dia berpeluang membuat perubahan pada dirinya baik dalaman mahupun luaran.

Oleh :
Ahmad Baei Jaafar

25 Julai, 2010

Nisfu Sya'ban dan Fatwa Tentangnya


Sebagaimana telah kita ketahui apabila tibanya malam 15 Sya’aban, ramai yang akan ke masjid untuk solat jemaah dan membaca yasin sebanyak 3 kali. Tetapi tahukah kita dari mana amalan itu berasal? Sedangkan kita tahu, bahawa sesuatu ibadah khusus yang dilakukan jika tiada amalan atau dalil dari nabi Muhammad S.a.w maka dikira bid’ah.

Persoalannya mengapa perlu dilakukan sebanyak 3 kali dan dikhususkan pada malam tersebut? Sedangkan bacaan Yasin boleh dilakukan pada bila-bila masa dan tidak terhad kepada berapa kali.

Seperti yang selalu saya lihat, bacaan Yasin yang dibuat sebanyak 3 kali itu dilakukan dengan pantas dan terkejar-kejar. Mungkin ianya sesuai dengan orang yang sudah mahir membaca Qasar, tetapi bagaimana dengan mereka yang tidak mahir dengan bacaan Qasar lebih-lebih lagi bagi yang tidak mahir membaca AlQuran bertajwid. Tidakkah itu sudah menjadi tunggang-langgang dan tidak berlaku dalam keadaan yang tenang. Apakah bagus membaca AlQuran dalam keadaan tergesa-gesa dan salah tajwidnya? Apakah hikmah di sebalik tergesa-gesa dan tidak faham apa yang dibaca itu?

Sebenarnya tiada hadith yang sahih yang memberitahu tentang bacaan yasin 3 kali pada malam nisfu Syaaban ini dan jika ada pun, ianya adalah hadith berkenaan kelebihan malam nisfu Syaaban yang dhaif dan juga terdapat dalam hadith maudhu’ (palsu). Walau bagaimanapun ada sebahagian ulama berpendapat hadis dhaif boleh dipegang dalam amalan sunat secara perseorangan. Tetapi tidak sekali-kali dengan hadith maudhu’. Ingat, hadith maudhu’ maknanya hadith PALSU, dan hadith PALSU hanyalah hadith yang direka-reka oleh golongan tertentu. Dengan kerana itu, adalah penting agar kita berhati-hati dalam memahami martabat sesuatu hadith itu.

Namun , dalam soal bacaan Yasin sebanyak 3 kali dalam nisfu Syaaban tetap tidak ada hadith yang sahih berkenaannya dan amalan tersebut tiada ditunjukkan contoh langsung oleh nabi dan sahabat. Maka mengapa kita sekarang ini mengadakan majlis tersebut di masjid-masjid apabila tibanya malam nisfu Syaaban sahaja? Mengapa perlu menetapkan malam itu untuk membaca Yasin 3 kali dan berduyun-duyun menuju ke masjid sedangkan malam lain tidak? Itu yang perlu diperhati bersama.

Dan saya tidak berani mengatakan amalan tersebut haram. tetapi kita perlu ingat, amalan ibadah khusus yang bukannya berasal dari nabi sudah dikira bid’ah dan dibimbangi amalan itu akan menjadi penat dan lelah semata-mata kerana tidak berasas atau menambah dosa sahaja. Tetapi menurut fatwa dari Syeikh Abdul Aziz bin Baaz, amalan itu dikira bid’ah dan penjelasannya ada saya sertakan di bawah nanti.

Maka sebaiknya adalah kita lakukan sahaja amalan membaca Yasin atau apa-apa sahaja bacaan AlQuran , tanpa perlu dikhususkan 3 kali dan seumpamanya. Dan yang penting, bacaan itu biarlah TERTIB, TENANG dan memberi keinsafan kepada kita dan bukannya semata-mata mahu mengejar pahala sehingga membaca AlQuran dengan tergopoh dan salah tajwid dan mengatakan sepatutnya melakukan bacaan Yasin 3 kali itu.

Pengertian nisfu Syaaban

Nisfu dalam bahasa arab bererti setengah. Nisfu Syaaban bererti setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam lima-belas Syaaban iaitu siangnya empat-belas haribulan Syaaban.

Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul qadr. Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi saw tidak tidur pada malam itu sebagaimana yg tersebut dalam sebuah hadis yg diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi r.a:

Rasulullah saw telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dan sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda saw dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda saw berkata dlm sujudnya, “Ya Allah aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yg akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung kpdMu daripadaMu. Aku tidak dpt menghitung pujian terhadapMu seperti kamu memuji diriMu sendiri.”

Baca selanjutnya di sini >>>http://idhamlim.blogspot.com/2010/07/nisfu-syaaban-dan-fatwa-tentangnya.html

03 Julai, 2010

KEAJAIBAN OTAK...

20 Rejab 1431H
Oleh : Seri Budiman

Seorang doktor di Amerika Syarikat telah memeluk Islam kerana beberapa keajaiban yang ditemuinya dalam penyelidikannya. Dia amat kagum dengan penemuan tersebut, sehingga tidak dapat diterima oleh akal fikiran.

Dia adalah seorang Doktor Neurologi . Setelah memeluk Islam, dia amat yakin akan perubatan secara Islam dan dengan itu telah membuka sebuah klinik yang bertemakan “Perubatan Melalui Al-Qur’an” . Kajian perubatan melalui Al-Qur’an membuatkan ubat-ubatannya berteraskan apa yang terdapat di dalam Al-Qur’an.

Di antara kaedah-kaedah yang digunakan termasuklah berpuasa, madu lebah, biji hitam (black seed) dan sebagainya. Apabila ditanya bagaimana dia tertarik untuk memeluk Islam, maka doktor tersebut memberitahu bahawa semasa beliau melakukan kajian urat saraf, terdapat beberapa urat saraf di dalam otak manusia yang tidak dimasuki oleh darah . Padahal setiap inci otak manusia memerlukan darah yang cukup untuk berfungsi secara normal. Setelah membuat kajian yang memakan masa, akhirnya beliau mendapati Bahawa darah tidak akan memasuki urat saraf di dalam otak manusia melainkan pada ketika seseorang itu sedang sujud semasa mengerjakan Sembahyang!!!

Urat tersebut memerlukan darah hanya untuk Beberapa sukatan yang tertentu sahaja. Ini bermaksud bahawa darah hanya akan memasuki urat tersebut mengikut kadar sembahyang waktu yang diwajibkan oleh Islam…… Begitulah keagungan ciptaan Allah!!! tidak menunaikan sembahyang , akan otaknya tidak Akan dapat menerima darah yang secukupnya untuk berfungsi secara normal!!! Oleh yang demikian, kejadian manusia ini sebenarnya adalah untuk menganuti agama Islam ’sepenuhnya’ kerana sifat fitrah kejadiannya memang telah dikaitkan oleh Allah dengan agama-Nya yang indah ini

25 Jun, 2010

Kisah Mus'ab bin Umair r.a


Musab bin Umair adalah sahabat Rasulullah yang sangat terkenal dan menjadi teladan kepada umat Islam sepanjang zaman. Sebelum memeluk Islam lagi Musab terkenal sebagai orang yang berperawakan lemah lembut, suka berpakaian kemas, mahal dan indah. Malah dia selalu berlawan dengan kawan-kawannya untuk berpakaian sedemikian. Keadaan dirinya yang mewah dan rupanya yang kacak menyebabkan Musab menjadi kegilaan gadis di Makkah. Mereka sentiasa berangan-angan untuk menjadi isterinya.

Musab sebenarnya adalah anak yang paling disayangi ibunya berbanding adik beradiknya yang lain. Apa sahaja permintaannya tidak pernah ditolak. Oleh itu tidaklah menghairankan apabila ibunya begitu marah selepas mendapat tahu Musab telah menganut Islam.

Ibu dan ayahnya telah mengurung dan menyeksa Musab selama beberapa hari dengan harapan dia akan meninggalkan Islam. Bagaimanapun tindakan itu tidak sedikit pun melemahkan keyakinannya. Pujukan dan ancaman ibunya tidak berkesan. Mereka sudah habis ikhtiar lalu membebaskannya buat sementara.

Tindakan ibunya tidak sedikit pun menimbulkan rasa takut pada Musab, sebaliknya dia tidak jemu-jemu memujuk ibunya memeluk Islam kerana kasih pada ibunya. Musab membuat pelbagai ikhtiar tetapi semua tindakannya hanya menambahkan lagi kemarahan dan kebencian ibunya.

Pada suatu hari Musab melihat ibunya dalam keadaan pucat lesi. Dia pun bertanyakan sebabnya. Kata ibunya, dia telah berniat di hadapan berhala bahawa dia tidak akan makan dan minum sehingga Musab meninggalkan Islamnya.

Cuba bayangkan bagaimana jika anda berada di tempat Musab ketika itu, berhadapan dengan ibu yang hanya hampir tinggal nyawa ikan? Apakah jawapan anda? Tergamakkah anda membiarkannya terlantar begitu? Atau apakah ada jawapan lain yang lebih menggembirakan? Dengarlah jawapan Musab kepada ibunya: Andaikata ibu mempunyai seratus nyawa sekalipun, dan nyawa ibu keluar satu demi satu, nescaya saya tetap tidak akan meninggalkan Islam sama sekali.

Apa lagi lemahlah siibu mendengar jawapan sianak. Dengan jawapan tersebut juga, Musab dihalau daripada rumah ibunya. Tinggallah Musab bersama-sama Rasulullah dan sahabat-sahabat yang sangat daif ketika itu.

Untuk meneruskan kehidupannya, Musab berusaha sendiri bekerja mencari nafkah dengan menjual kayu api. Apabila sampai berita ini kepada ibunya, dia merasa amat marah dan malu kerana kebangsawanannya telah dicemari oleh sikap Musab. Adik-beradik Musab juga sering menemui dan memujuknya supaya kembali menyembah berhala. Tetapi Musab tetap mempertahankan keimanannya.

Sewaktu ancaman dan seksaan kaum Quraisy ke atas kaum Muslim menjadi-jadi, Rasulullah telah mengarahkan supaya sebahagian sahabat berhijrah ke Habysah. Musab turut bersama-sama rombongan tersebut. Sekembalinya dari Habsyah, keadaan beliau semakin berubah. Kurus kering dan berpakaian compang-camping. Keadaan itu menimbulkan rasa sedih di dalam hati Rasulullah. Kata-kata Rasulullah mengenai Musab sering disebut-sebut oleh sahabat:

Segala puji bagi bagi Allah yang telah menukar dunia dengan penduduknya. Sesungguhnya dahulu saya melihat Musab seorang pemuda yang hidup mewah di tengah-tengah ayah bondanya yang kaya raya. Kemudian dia meninggalkan itu semua kerana cinta kepada Allah dan Rasul-Nya.

Apabila ibu Musab mendapat tahu mengenai kepulangannya, dia memujuk anaknya supaya kembali kepada berhala. Dia mengutuskan adik Musab yang bernama al-Rum untuk memujuknya. Namun Musab tetap dengan pendiriannya. Bagaimanapun tanpa pengetahuan ibunya, al-Rum juga sudah memeluk Islam tetapi dia merahsiakannya. Sewaktu berlaku peperangan Uhud, Musab ditugaskan memegang panji-panji Islam. Peringkat kedua peperangan telah menyebabkan kekalahan di pihak tentera Muslimin. Tetapi Musab tetap tidak berganjak dari tempatnya dan menyeru: Muhammad adalah Rasul, dan sebelumnya telah banyak diutuskan rasul.

Ketika itu, seorang tentera berkuda Quraisy, Ibn Qamiah menyerbu ke arah Musab dan melibas tangan kanannya yang memegang panji-panji Islam. Musab menyambut panji-panji itu dan memegang dengan tangan kirinya sambil mengulang-ulang laungan tadi. Laungan itu menyebabkan Ibn Qamiah bertambah marah dan menetak tangan kirinya pula. Musab terus menyambut dan memeluk panji-panji itu dengan kedua-dua lengannya yang kudung. Akhirnya Ibn Qamiah menikamnya dengan tombak. Maka gugurlah Musab sebagai syuhada' Uhud.

Abu al-Rum, Amir ibn Rabiah dan Suwaibit ibn Sad telah berusaha mendapatkan panji-panji tersebut daripada jatuh ke bumi. Abu Rum telah berjaya merebutnya dan menyaksikan sendiri syahidnya Musab. Abu Rum tidak dapat lagi menahan kesedihan melihat kesyahidan abangnya. Tangisannya memenuhi sekitar bukit Uhud. Ketika hendak dikafankan, tidak ada kain yang mencukupi untuk menutup mayat Musab. Keadaan itu menyebabkan Rasulullah tidak dapat menahan kesedihan hingga bercucuran air matanya. Keadaannya digambarkan dengan kata-kata yang sangat masyhur: Apabila ditarik ke atas, bahagian kakinya terbuka. Apabila ditarik ke bawah, kepalanya terbuka. Akhirnya, kain itu digunakan untuk menutup bahagian kepalanya dan kakinya ditutup dengan daun-daun kayu.

Demikian kisah kekuatan peribadi seorang hamba Allah dalam mempertahankan kebenaran dan kesucian Islam. Beliau jugalah merupakan pemuda dakwah yang pertama mengetuk setiap pintu rumah di Madinah sebelum berlakunya hijrah. Kisahnya mempamerkan usaha dan pengorbanannya yang tinggi untuk menegakkan kebenaran. Semua itu adalah hasil proses tarbiyah yang dilaksanakan oleh Rasulullah.

Musab telah menjadi saksi kepada kita akan ketegasan mempertahankan aqidah yang tidak berbelah bagi terhadap Islam sekalipun teruji antara kasih sayang kepada ibunya dengan keimanan. Musab lebih mengutamakan kehidupan Islam yang serba sederhana dan kekurangan berbanding darjat dan kehidupan yang mewah. Dia telah menghabiskan umurnya untuk Islam, meninggalkan kehebatan dunia, berhijrah zahir dan batin untuk mengambil kehebatan ukhrawi yang sejati sebagai bekalan kehidupan dalam perjuangan yang tidak pernah padam.

23 Jun, 2010

Apa Sebenarnya Tujuan Kita Berdoa?

Tujuan kita berdoa adalah mengikhlaskan apapun yang sudah menjadi kehendak atau ketetapan Allah. Apapun masalah yang kita hadapi hendaknya benar-benar menyandarkan diri kepada Allah sebagai penolong dan pelindung yang sebaik-baiknya. Apapun yang menjadi kehendakNya dan ketetapanNya itulah yang terbaik untuk kita.

'Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baiknya pelindung.' (QS. al-Anbiya : 88).

Dengan berdoa memohon kepada Allah akan membebaskan diri kita dari perasaan takut akan masalah maupun ketakutan itu sendiri. Sebagaimana Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

'Maka mereka kembali dengan nikmat dan karunia yang besar dari Allah. Mereka tidak mendapat bencana apapun. Mereka mengikuti keridhaan Allah. Dan Allah mempunyai karunia yang besar. (QS. ali- Imran : 173).

Lantas apa kuncinya sebuah doa dikabulkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala? Kuncinya terletak pada diri kita sendiri. Apakah kita termasuk orang-orang yang bertaqwa kepada Allah sehingga doa kita layak untuk dikabulkan atau tidak? Bagaimana dengan perbuatan kita sehari-hari? apakah memudahkan doa kita dikabulkan ataukah malah menjadi penghalang doa kita untuk dikabulkan?

'Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar dan memberi rizki dari arah yang tidak disangka-sangka. Dan barangsiapa yang berserah diri kepada Allah, niscaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya. (QS ath- Thalaq : 2-3)

21 Jun, 2010

PERISTIWA ISRA' DAN MI'RAJ


Peristiwa Isra’ dan Mikraj berlaku selepas nabi diuji dengan kematian dua orang yang paling rapat dan banyak membantu baginda dalam usaha menyebarkan dakwah Islam iaitu isteri tercinta Siti Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib. Tekanan yang dihadapi selepas kematian kedua insan yang disayangi semakin bertambah dan jika kita fikirkan dari segi logik akal maka dakwah Islam pasti akan terkubur.

Namun kuasa Allah melebihi segala-galanya iaitu selepas penolakan dakwah oleh penduduk Taif, nabi telah dihiburkan dengan Isra’ dan Mikraj dan seterusnya diizinkan untuk berhijrah ke Madinah sehingga membina Daulah Islamiah yang telah mengubah kedudukan Islam daripada dihina kepada dipandang mulia, daripada lemah kepada memerintah. Dalam peristiwa di Taif iaitu ketika penduduknya bukan sahaja menolak mentah-mentah dakwah Islam malah telah melontar batu ke arah nabi sehingga berlumuran darah.

Taif

Kita dapat melihat nabi telah diberi peluang untuk menang mudah iaitu tawaran daripada malaikat penjaga bukit untuk menjadikan bukit bawah jagaannya sebagai emas tetapi ditolak oleh nabi sebagaimana nabi menolak tawaran malaikat penjaga bukit yang ingin menghancurkan penduduk Taif yang begitu degil dengan menjatuhkan bukit ke atas penduduk Taif.

Penolakan nabi ini memberi banyak pengajaran kepada kita umat Islam iaitu kekayaan bukanlah faktor utama dalam menegakkan Islam kerana jika kita perhatikan pada hari ini kebanyakan negara umat Islam dianugerahkan dengan hasil dalam negara yang banyak tetapi ia tidak membantu dalam membentuk umat Islam yang bersatu serta menghentikan penderitaan umat Islam yang sedang ditindas. Islam bukan mampu bangkit dengan kekuatan ekonomi semata-mata tetapi Islam bangkit melalui kekuatan aqidah yang ditanam dalam diri.

Peristiwa Isra’ Mikraj berlaku di dua tempat utama di bumi sebelum nabi dinaikkan ke sidratul muntaha iaitu bumi Mekah dan Palestin malah melalui ayat 1 surah Isra’ menjelaskan bagaimana Allah memberkati bumi isra’ dan sekitarnya. Sehingga kini bumi Isra’ iaitu Baitul Maqdis, Palestin terus menjadi rebutan tiga agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi sehinggakan keganasan Yahudi dalam membunuh dan merampas tanah milik umat Islam terus berjalan tanpa perikemanusiaan.

NOSTALGIA