31 Mei, 2010

Perutusan Raja Sehari

Undangan Muhammad Nazuande Nazhime (Gen-6)

Undangan Mohammad Khairi Abd Halim (Gen-3)

Sekitar Makan Malam Alumni MADI

Kelihatan Ustazah Nor Hasni dan Kak Mardhiah bersama keluarga

Ustaz Yusof tidak ketinggalan memeriahkan makan malam

Kedatangan beberapa sahabat Alumni dari Thailand amat dihargai

Ustaz Abdul Rasyid mencabut nombor bertuah

Kaunter urusetia tak putus-putus dikunjungi untuk dapatkan kupon

Saf AJK program sempat lagi melaram..terima kasih semua..

Antara sahabat Alumni dari kalangan muslimat

Antara sahabat Alumni muslimin yang khusyuk meratah ikan bakar

Mudir MADI; Ustaz Ya'akub telah memberi ucaptama yang penuh bersemangat

20 Mei, 2010

Secebis Kisah Seorang Guru


SELAMAT HARI GURU: Sekali menjadi guru, selamanya kita Guru
Oleh: Riduan Mohamad Nor

“Selamat Hari Guru….jasamu tetap dikenang seumur hidup”.” Selamat menyambut hari guru, terimakasih kerana pernah menabur ilmu untuk kami”.

Inilah puluhan mesej yang saya terima hari ini dan mungkin ratusan untuk minggu ini, sempena Hari Guru, 16 Mei. Malangnya, tanpa hadiah kecil dan kuntuman bunga segar diatas meja .

Ada rasa hiba yang menerkam ruang sempit dada, malah mesej ringkas yang diterima menyeruak kembali pengalaman menjadi pendidik selama belasan tahun di Lembah Kelang ini.

Sayangnya ramai bekas anak-anak murid saya tidak tahu saya telah melepaskan jawatan secara rasmi sebagai guru, namun sekali kita menjadi guru, seumur hidup kita adalah guru.

Saya melepaskan jawatan untuk memberikan lebih perhatian kepada kerja amal Islami yang telah saya telusuri hampir dua dekad ini.

Hasan al Banna, Sheikh Ahmad Yasin, Said Ramadhan, Pak Natsir, HAMKA, Khalid Mas’al, Saed Siyyam, Said Hawwa, Dr Zulkifli Muhammad, Dr Burhanuddin , Ustaz Fadhil Noor dan ribuan yang lain aktivis Islam ialah para guru yang mendidik dan membina manusia. Mereka semua melepaskan jawatan demi dakwah dan perjuangan Islam.

“Saya akan terus mendidik selagi mana ada nafas, tetapi untuk masyarakat umum, pelbagai lapisan, jika rindu pada sekolah, masuk ke sekolah untuk program motivasi” janji saya pada kak Aminah sebelum melangkah girang, keluar daripada pagar sekolah.

Melepaskan seribu bebanan tugas rutin yang menambat potensi diri untuk mara sebagai aktivis. Menghela nafas merdeka dengan segudang pengalaman sebagai pendidik muda sekaligus aktivis dakwah.

Kepada teman-teman pendidik yang masih akrab dengan buku rekod, papan putih, kursus dalaman , folio pelajar, teruskan jihad kalian untuk memberikan pencerahan kepada generasi muda kerana ditangan mereka terletak masa depan Islam yang gemilang.

Saya diserbu kenangan yang menggamit perasaan yang bercampur , malah dihempap dengan segunung rasa bersalah apabila mengenangkan kembali masa silam terutama tahun-tahun awal sebagai pendidik.

Ya, seorang anak muda yang sarat dengan idealisme, yang melihat dunia dengan dikotomi hitam putih, iman dan kufur, Islam dan jahiliah.

1998: Goh : Remaja Hilang Bentuk, Melakar Masa Depan Niaga

“ Kamu ikut saya ke surau!” jerkah saya pada seorang pelajar Cina yang bernama Goh, mata saya melotot merah saga. “ kamu degil, kepala batu, ini semua sebab gemar makan bab……” hina saya pada Goh, tanpa berbasa basi.

Sebelum itu Goh dikurung dibawah meja saya didalam bilik guru lelaki. "Lokap ustaz Wan” gelar guru lelaki, tidak ada yang membantah dengan jeriji kecil impian saya di VI itu.

Sekolah yang juga bekas markas Jepun itu sangat sinonim dengan tradisi penderaan dan pemerkosaan hak.

Goh ketakutan seperti anak anjing yang tersimbah air longkang. Sinar matanya mendatar, egonya diluluhlantak dengan jerkahan keras saya, diringi hayunan kaki dan tangan.

Saya pula kepuasan seperti baru membentes kaki pesaing dalam acara tomoi sedunia dan melepaskan siku kencang ke muka pesaing. Pesaing pula berkubang darah, menggeletak kesakitan.

Dia, remaja yang polos, suka bercakap lepas , selekeh ala bohemian, tajam kata-kata pada sang guru. “dia belum kenal aku” raung saya dalam hati menyombong, anak Besut yang sesat di Kuala Lumpur, Bandar metpolis yang angkuh ini. Sebelum dikurung , Goh dibelasah ‘lembik’ seperti kain buruk, semua guru diam, tidak membantah dan tidak juga menyokong.

Goh terkenal sebagai ‘taiko’ muda di sekolah dengan jaringan yang meluas didalam dan luar sekolah .Goh gambaran tipikal remaja Lembah Kelang yang teruja dengan gaya hidup samseng Hong Kong yang disensasikan dilayar perak, generasi ‘young and furious’, dadah, bertetak, menebar pesona untuk mengangkangi gadis-gadis genit yang menyihir mata.

“Kamu tengok saya sembahyang, mengapa kamu tidak minat kepada Islam , Islam agama yang baik untuk kamu” ujar saya pada Goh dengan muka yang cemberut.

Goh hidup tanpa tuhan, anak remaja ini merayakan kehidupannya , seranggi mungkin, bebas bagai kelkatu mengintai kerdipan neon malam yang mempersona.

Goh menapak longlai ke Surau, dihujung bangunan sekolah berwajah kolonial, lusuh tapi elegan. Surau itu sebenarnya ‘pot’ saya, tempat melepas lelah setelah penat dengan aktiviti politik diluar sekolah, berlanglang buana ke seluruh negara untuk meruntuhkan hegemoni daulah.

Dengan dua bilik yang selesa untuk mengambil tenaga yang terkuras.Saya menyimpan rapi kuncinya, dengan sejadah lusuh sebagai bantal yang paling mendamaikan mimpi –mimpi rusuh aktivis politik oposisi.

Saya dan pelajar muslim solat zuhor berjemaah. Rutin kami jika saya tidak berkuliah zuhor di Lembah Kelang. Goh seperti taukeh getah kalah judi duduk terperuk dihujung pintu surau.
Terjelepuk sambil membilang jari, matanya terus meliar ke arah kami yang berzikir sebelum berdoa. Mata saya tidak terlepas memandang Goh, sesekali dia menguap kemalasan. Hati saya jengkel bercampur kasihan.

“ Ustaz, nanti besar saya mahu masuk Islam, boleh ke?” kata Goh bergetar. Saya merenung jauh kedalam mata sepet goh, seperti angin berlalu, saya tidak melihat ada kesungguhan melainkan untuk mencairkan hati saya, menjinakkan bongkah kemarahan.

“Boleh, nanti kamu belajar dengan kawan-kawan Melayu tentang Islam” jawab saya malas. Goh berkawan rapat dengan budak-budak Melayu, pengaruhnya besar terhadap pelajar menengah rendah.

Beliau pandai memposisikan diri sebagai kesatria barisan hadapan, jika ada acara kecoh bertumbuk maka dialah paling kehadapan.” Dah , pergi balik” herdik saya pada Goh, tergesa-gesa Goh menghilangkan diri, seperti keretapi ekspres malam.

Dia menciut dibelakang pelajar muslim lain. Pelajaran moral hari itu ialah jangan permainkan guru, Goh mendapat pengajaran yang membekas tajam, mungkin untuk seumur hidup. Itu pun , jika beliau tidak pernah diinterogasi pihak polis atas kesalahan jenayah berat.

“Mengapa ustaz mengamuk tadi, Goh buat apa?, memang budak tu selalu cari pasal” tanya Cikgu Zuraidi , anak muda kelahiran negeri ‘cik siti wan kembang’ itu menjaring soalan, menebak punca kekecohan di sekolah hari itu.

Dia guru penyokong tegar reformasi, setia di jalanan di hujung minggu. Sudah kalih dihambat aparat keamanan bertopi merah di Jalan Tunku Abdul rahman.

“Tak, budak itu , mengembek macam kambing kat hujung kelas, nak perli janggut ana la tu, kurang ajar sekali” jawab saya malas.

Bersusun kesalahan Goh sebenarnya jika nak disenaraikan, dia pesalah konsisten undang-undang sekolah.

Mempunyai bakat terpendam dalam menyusun makar paling sarkastik, terbit dari sisi gelap otaknya yang sentiasa merancang. Nanar sekali demi mencuri perhatian warga sekolah.

GOH menjelma kembali

Beberapa tahun selepas menamatkan alam persekolahan, Goh datang menziarahi saya kembali, penampilannya jauh berbeda. Dengan kereta bergengsi dan pakaian yang rapi , anak muda ini berjaya dalam perniagaannya yang pelbagai.

Perkataan yang keluar daripada mulutnya disusun rapi, santun dan bervisi. Goh sentiasa bertanyakan khabar saya pada guru yang lain, jika melawat sekolah.

Saya terharu, rasa tertampar dengan sikap ego dan mazmumah yang menggebu terhadap Goh.Saya gagal sebagai guru muslim untuk seorang pelajar Cina yang luarbiasa nakalnya. Kepongahan tidak membantu dalam berdakwah dan menarik manusia.

Pelajaran moral yang pertama ialah, jangan memandang rendah pelajar kita, apa pun kesalahn dan latar sosial mereka, semua manusia ada potensi untuk berubah dan berjaya dalam hidup.

Hari ini setelah berbelas tahun , saya sangat merindui sosok remaja seperti Goh. Beliau mengajar saya erti guru yang penyabar dan mendepangkan dada serta telinga untuk mendengar.

Kalaulah Goh hari ini menjadi salah seorang anak murid saya di kelas PERKIM setiap Ahad, saya akan tekun mendidiknya untuk menjadi kader dakwah, sayang kerana saya melepaskan peluang itu belasan tahun yang lalu.

Tololnya saya pada masa itu, tanpa hikmah dunia ini kehilangan sinarnya yang indah meranum.

“Selamat Hari Guru” kepada semua pendidik, saya merindui dunia keguruan, merindui barisan anak murid yang tenang ingin menyerap ilmu. Kalaulah masa boleh diundur, saya tidak akan berdiri sebagai guru yang pongah dan melulu.

**Penulis adalah Exco Dewan Pemuda Pas Pusat, Pendakwah dan Perunding Motivasi

19 Mei, 2010

Sekitar Sambutan Hari Guru MADI 2010

Persembahan Nasyid oleh Pelajar Putra

Ustaz Abd Rasyid menerima Anugerah Guru Paling Popular
Tahniah..

Ustaz Abd Wahab menerima Anugerah Guru Paling Sabar
Tahniah..

Persembahan Seni Silat

Barisan Asatizah terhibur dengan persembahan pelajar

15 Mei, 2010

Selamat Hari Guru..


Warga Alumni MADI
mengucapkan Sekalung Penghargaan kepada
ASATIZAH dan USTAZAAT
yang bertungkus-lumus mendidik kami sepanjang berada di MADI.
Semoga Allah merahmati segala usaha dan jasa kalian dalam mengajar kami ilmu dunia dan akhirat.

06 Mei, 2010

Di Manakah Anda??!!


Assalamualaikum.

MADI akan mengadakan pameran dalam Ijtima' Pemuda Negeri pada 14 - 16 Mei 2010.

Jadi pihak alumni memohon jasa baik anda, memaklumkan maklumat terkini anda sebagaimana berikut;

1- Nama :
2- Alamat :
3- No. Tel :
4- Email :
5- Pusat Pengajian/Pekerjaan :
6- Gambar-gambar MADI/pelajar yang ada dalam simpanan anda :

*p/s : No. 1, 5 & 6 sahaja untuk pameran..No. 2, 3 & 4 untuk simpanan pihak alumni.

Harapannya, anda dapat buat hebahan kepada rakan-rakan lain juga.

Anda bolehlah salurkan maklumat di atas melalui email : alumni_madi@yahoo.com

Terima kasih.

Majlis Makan Malam Alumni MADI



Semua bekas pelajar MADI dijemput hadir memeriahkan majlis yang julung-julung kali diadakan ini. Kupon bernilai RM10 per-seorang. Rebutlah peluang menarik ini untuk bertemu kawan-kawan lama dan memajukan Alumni.

Tarikh : 29hb Mei 2010
Hari : Sabtu
Masa : 8.00 malam
Tempat : Restoran Kina 2, Behor Pulai Kangar Perlis


Cabutan Bertuah menanti para pengunjung.

Sebarang maklumat lanjut, sila hubungi :
Mohd Firdaus bin Fadzil (012-4638861)
atau email : alumni_madi@yahoo.com

03 Mei, 2010

Buat Renungan Kita bersama: Disebalik Kisah Secangkir Cawan


Kisah ini merupakan satu teladan kepada kita semua tentang kenapa selama ini kita sering ditimpa dugaan yang adakalanya sukar untuk kita tanggung dan terlalu menyakitkan.

Sepasang datuk dan nenek pergi belanja di sebuah kedai cenderamata untuk mencari hadiah buat cucu mereka. Kemudian mata mereka tertuju kepada cawan yang cantik. “Lihat cawan itu,” kata si nenek kepada suaminya. “Kau betul, inilah cangkir tercantik yang pernah aku lihat,” ujar si datuk. Pada ketika mereka mendekati cawan itu, tiba-tiba cangkir yang dimaksud berbicara,

“Terima kasih untuk perhatian anda, perlu diketahui bahawa aku dulunya tidak cantik. Sebelum menjadi cawan yang dikagumi, aku hanyalah selonggok tanah liat yang tidak berguna. Namun suatu hari ada seorang penjunan dengan tangan kotor melempar aku ke sebuah roda berputar. Kemudian ia mulai memutar-mutar aku hingga aku merasa pening. Stop ! Stop ! Aku berteriak. Tetapi orang itu berkata, ‘Belum !’ Lalu ia mulai menyodok dan meninju aku berulang-ulang. Stop! Stop ! teriakku lagi.

Tapi orang ini masih saja meninjuku, tanpa menghiraukan teriakanku. Bahkan lebih buruk lagi ia memasukkan aku ke dalam api. Panas! Panas ! Teriakku dengan kuat. Stop ! Cukup ! Teriakku lagi.Tapi orang ini berkata, ‘Belum !’ Akhirnya ia mengangkat aku dari api itu dan membiarkan aku sampai sejuk. Aku fikir, selesailah penderitaanku. Oh ternyata belum.

Setelah sejuk aku diberikan kepada seorang wanita muda dan ia mulai mewarnai aku. Asapnya begitu memualkan. Stop ! Stop ! Aku berteriak. Wanita itu berkata, ‘ Belum !’ Lalu ia memberikan aku kepada seorang lelaki dan ia memasukkan aku sekali lagi ke api yang lebih panas dari sebelumnya ! Tolong ! Hentikan penyiksaan ini ! Sambil menangis aku berteriak sekuat-kuatnya.Tapi orang ini tidak peduli dengan teriakanku. Ia terus membakarku.

Setelah puas “menyiksaku” kini aku dibiarkan sejuk. Setelah benar-benar sejuk seorang wanita cantik mengangkatku dan menempatkan aku dekat kaca. Aku melihat diriku.Aku terkejut sekali. Aku hampir tidak percaya, kerana di hadapanku berdiri sebuah cawan yang begitu cantik. Semua kesakitan dan penderitaanku yang lalu menjadi sinar tatkala kulihat diriku.” Datuk dan nenek itu terdiam membisu. Lalu diceritakan kisah itu kepada cucunya.

Pengajaran:

Seperti inilah kehidupan membentuk kita. Dalam perjalanan hidup akan banyak kita temui keadaan yang tidak menyenangkan, sakit, penuh penderitaan, dan banyak air mata. Tetapi inilah satu-satunya cara untuk mengubah kita supaya menjadi ‘cantik’.

Jangan lupa bahawa cobaan yang kita alami tidak akan melebihi kekuatan kita. Ertinya tidak ada alasan untuk tergoda dan jatuh dalam dosa apabila anda sedang menghadapi ujian hidup, jangan kecil hati, kerana Tuhan sedang membentuk anda. Bentukan-bentukan ini memang menyakitkan tetapi setelah semua proses itu selesai. Anda akan melihat betapa cantiknya Tuhan membentuk anda untuk kehidupan yang lebih baik dan bermakna di hari kemudian dan hari pembalasan(akhirat).

WAllahu a’lam

NOSTALGIA